DI sebalik menjadi medan melahirkan atlet hebat, sukan juga menjadi landasan terbaik dalam memupuk dan memperkasa perpaduan antara komuniti.
Justeru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan Pertandingan Futsal PA/PPR Piala Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) baru-baru ini.
DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata pertandingan itu disertai oleh peserta yang terdiri daripada penduduk PA/PPR sekitar Kuala Lumpur.
“Kejohanan yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan hubungan antara komuniti PA/PPR di samping memupuk semangat kesukanan serta aktiviti yang sihat.
“Ia merupakan anjuran DBKL dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penduduk PA/PPR. Kategori dewasa mempertaruhkan 31 pasukan sementara 21 pasukan bagi kategori remaja,” katanya.
Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin dan diiringi oleh Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng serta Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk PA/PPR, Ismail Shaari.
“Bagi kategori dewasa, johan telah disandang oleh PPR Batu Muda dan naib johan dirangkul oleh PPR Kampung Baru Air Panas manakala bagi kategori remaja pula tempat pertama dimenangi PPR Pekan Batu dan naib johan dari PPR Muhibbah B.
“Tahniah diucapkan kepada juara pertandingan dan pasukan-pasukan yang bertanding. Jumpa lagi di penganjuran di masa hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, Pertandingan Futsal PA/PPR Piala Menteri Wilayah Persekutuan diadakan pada 22 September 2024 bertempat di Sportizza Setapak, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU