TIADA penggantungan lesen dikenakan terhadap stesen radio Era FM ekoran kontroversi yang tercetus daripada tiga penyampai radio tersebut baru-baru ini.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), walau bagaimanapun Era FM telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.
“Tindakan tersebut adalah bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
“Kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya MCMC telah menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM, berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac 2025.
“Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.
“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” ujarnya.
MCMC berkata pihaknya memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara,” katanya.
Sebelum ini, trio penyampai radio itu memohon maaf berhubung video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci yang dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video itu yang sudah diturunkan dari platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan-rakan yang lain.
Klip video tersebut mengundang kritikan ramai kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut agama lain. – WILAYAHKU