ENAM petinju luar negara dari benua Asia dan Eropah bakal berentap bagi merebut 12 tali pinggang kejuaraan di Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 November ini.
Menurut Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah, Rosli Yaacob, selain Malaysia, antara negara yang terlibat dalam penganjuran kali ke-72 ini adalah Thailand, Indonesia, Afghanistan, Maghribi, Itali dan Iran.
“Kami mensasarkan lebih 5,000 penonton dari dalam dan luar negara bakal memenuhi stadium sepanjang dua malam perlawanan di mana tiket dijual dengan harga RM20 buat pembeli terawal manakala RM25 untuk harga biasa.
“Penganjuran sejak 2013 itu, turut mendapat sokongan Tourism Malaysia, sekali gus menjadi sebuah acara hebat mengisi kalendar aktiviti pelancongan tahun 2023,” katanya dalam Sidang Media Grand Final Kuda Merah International World Muaythai Championship 2023 yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf, pada Selasa.
Menurut salah seorang peserta, Putra Abdullah Mahmud, 18, dia tekad untuk mengekalkan status kejuaraan yang dimilikinya pada kejohanan lalu.
“Untuk kali ini persiapan memang lasak. Sebelum ini, saya jarang berlatih pada waktu pagi namun untuk kejohanan ini saya perlu menjalani latihan pada waktu pagi, petang dan malam. Ia juga merupakan antara sesi warming up buat saya dalam persiapan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Saya rasa bangga dan lebih bersemangat apabila membawa nama Wilayah Persekutuan dan diharapkan dapat menempa kejayaan seterusnya mengharumkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) juga.
“Sasaran utama adalah untuk mengekalkan kejuaraan walau apa pun yang terjadi dan enjoy the fight dalam gelanggang perlawanan,” ujar atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) itu.
Terdahulu, seramai 28 petinju terdiri daripada 14 regu akan bertarung untuk merebut hadiah berupa 10 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan, dua piala dan wang tunai di mana pemenang atau juara tali pinggang akan kembali dicabar dalam Clash of Champion pada November 2024. – WILAYAHKU