KEJADIAN ribut yang melanda Kampung Medan Wira Utama, Sentul pada petang 8 April lalu menyebabkan enam buah rumah mengalami kerosakan di bahagian atap selain peralatan rumah.
Prihatin akan musibah yang menimpa, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Parlimen Batu tampil menghulurkan Bantuan Khas YWP sebanyak RM500 kepada enam buah keluarga yang terkesan.
Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj berkata bantuan tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa selain
untuk membaik pulih kelengkapan rumah yang telah rosak.
“Musibah yang menimpa amat berat lebih-lebih lagi ia berlaku di bulan Ramadan. Saya tidak berkesempatan lagi untuk melihat keadaan
rumah mangsa tetapi saya sempat bertanyakan khabar mereka.
“Walaupun jumlah bantuan agak kecil tetapi saya harap ia dapat meringankan beban mereka. Musibah seperti ini akan sentiasa diberi
keutamaan oleh pihak YWP,” katanya sejurus menyerahkan bantuan kepada mangsa di Dewan Orang Ramai Kampung Medan Wira
Utama, Jalan Ipoh, Sentul, Kuala Lumpur.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Sammaludin Taib, 71, meluahkan rasa syukur di atas keprihatinan YWP bersama Parlimen Batu.
“Saya tidak menyangka ada bantuan ini. Terima kasih atas perhatian yang diberikan. Bolehlah saya gunakan duit ini untuk menambah
kos membaik pulih atap,” ujarnya.
Menceritakan detik kejadian, ketika itu dia berada di rumah anaknya di kawasan berhampiran tiba-tiba terdengar jeritan orang ramai memberitahu rumahnya terkesan dengan kejadian ribut.
“Ini kali kedua rumah saya dilanda ribut selepas enam tahun lalu. Bukan hanya atap yang terangkat tetapi air juga masuk ke dalam rumah dan banyak perkakas rumah telah rosak,” kongsinya yang sudah mendiami rumah tersebut selama 30 tahun. – WILAYAHKU