Berita

Enam jalan ditutup sempena perasmian SUKMA Sarawak 2024

- Diterbit 15 Ogos 2024 12:52 PM MYT

ENAM jalan di sekitar Stadium Negeri Sarawak akan ditutup sementara sempena Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Penutupan laluan tersebut akan dilakukan pada 17 Ogos ini bagi membantu melancarkan aliran trafik.

Ketua Polis Daerah Kuching, Mohd Farhan Lee berkata penutupan bermula pada pukul 3 petang bagi melancarkan pergerakan lalu lintas sepanjang perasmian berlangsung sehingga selesai.

“Antara jalan yang akan ditutup ialah Bulatan Sesco, Bulatan Kesuma Resort, lorong masuk ke tempat letak kenderaan belakang Stadium Negeri Sarawak, Persimpanagn Court Skuasy ke Stadium Sarawak, jalan masuk menghala ke Pintu A Stadium Sarawak serta penutupan sebelum Simpang Kampung Stadium,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya orang ramai yang ingin hadir dinasihatkan supaya menggunakan laluan untuk meletak kenderaan awam yang telah dikhaskan.

“Laluan tersebut adalah dari arah Bulatan Sesco dengan membuat pusingan U di Bulatan Casuarina kemudian melalui Jalan Casuariana untuk masuk ke Simpang Jalan Stadium (Ring) dan kawasan tempat letak kenderaan di tempat meletak kereta di belakang Stadium Sarawak.

“Bagi laluan keluar pula adalah dengan menggunakan Jalan Diplomatik menghala ke Demak,” ujarnya.

Mohd Farhan berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai sepanjang majlis berlangsung.

“Diminta orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan dan merancang perjalanan dengan memilih jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-259900,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas