Berita

Empat PATI warga Filipina tanpa pas sah dicekup

- Diterbit 17 Oktober 2024 1:20 PM MYT

SERAMAI empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tiga operasi yang dijalankan secara berasingan.

Pengarahnya, Raymond Entalai berkata mereka dikesan tinggal dan bekerja di Labuan tanpa pas yang sah.

“Hasil pemeriksaan seramai tiga orang perempuan dan seorang lelaki warganegara Filipina telah ditahan kerana masing-masing disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 20 hingga 27 tahun, dua saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan tersebut bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan serta Depot Imigresen Labuan untuk siasatan susulan jabatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, operası penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bertujuan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Raymond berkata pihaknya mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengantindakan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya.

Terdahulu, operasi secara berasingan itu dijalankan oleh tujuh pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas