KERAJAAN Perpaduan akan meneruskan agenda mensejahterakan penjawat awam di dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengajak keseluruhan pasukan penjawat awam untuk menerapkan budaya kerja yang baru sebagai memulih serta menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat.
“Tidak ada makna sekiranya kebijakan yang kita usulkan tidak dilonjak dengan kecekapan para penjawat awam. Justeru, ketangkasan mesti disemarak dan khidmat bakti kepada rakyat mesti terangkat,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar.
“Bagi fasiliti kesihatan yang mengguna pakai sistem ini, Kerajaan bersetuju supaya Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan antara RM55 ringgit hingga RM 65 kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan Jabatan tertentu,” katanya.
Beliau berkata sejajar dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat, Kerajaan memperkenalkan Program APEL.Q di bawah kendalian INTAN.
“Di bawah program ini, Kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15 ribu ringgit kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – WILAYAHKU