KERAJAAN telah menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM942.85 juta di Kedah dan Perlis bagi mewujudkan kawasan perindustrian baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Kementerian Ekonomi memaklumkan, ia merupakan salah satu usaha kerajaan ke arah memastikan pembangunan yang seimbang dilaksanakan merentasi wilayah dan negeri.
Katanya, ia termasuk isu mengenai penghijrahan tenaga mahir.
“Antara kawasan perindustrian baharu yang akan diwujudkan itu adalah Projek Kemudahan Infrastuktur di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping dengan kos RM723.7 juta.
“Projek lain adalah pembangunan infrastruktur asas zon industri fasa lima di Kulim Hi-Tech Park dengan kos RM132 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai langkah kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi saksama di negeri-negeri utara yang mengalami penghijrahan tenaga mahir ke Johor serta Selangor.
Menurut Kementerian Ekonomi, peruntukan yang disediakan kerajaan itu juga merangkumi Projek Pembangunan NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) di Chuping dengan kos RM89 juta.
Selain itu jelasnya, projek cadangan menyediakan kemudahan infrastruktur di Nakawan Border Industrial Park, Padang Besar, Perlis dengan kos RM7.15 juta.
“Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga membangunkan Projek Kedah Rubber City (KRC) yang melibatkan penyediaan infrastruktur asas tapak perindustrian fasa satu seluas 500 ekar.
“NCIA menawarkan pakej insentif cukai khas kepada pelabur-pelabur di KRC, seperti pengecualian cukai pendapatan korporat syarikat untuk menarik pelabur,” katanya.
Tambah kementerian itu, NCIA juga menekankan pembangunan bakat di KRC dengan menawarkan program-program menyokong aktiviti penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi oleh syarikat tempatan serta program membolehkan pekerja mendapatkan pensijilan pengkhususan kemahiran.
“Dengan adanya kawasan perindustrian baharu di negeri-negeri tersebut, peluang pekerjaan dapat diwujudkan melalui kemasukan pelaburan yang secara tidak langsung dapat mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke negeri lain,” katanya. – WILAYAHKU