PENELITIAN yang terperinci perlu dilaksanakan bagi mencari punca ketidakhadiran seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pakar Akademik, Profesor Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata apabila sudah mengenal pasti punca kepada masalah tersebut barulah ia boleh ditangani dengan lebih berkesan.
“Apakah ia berkaitan dengan masalah disiplin, apakah kerana hilang minat atau keadaan-keadaan yang tidak dapat dielakkan seperti sakit kronik dan sebagainya.
“Setiap perkara pasti ada jalan penyelesaian, jika faktor disiplin membuatkan mereka tidak dapat hadir, perlu cari kaedah bagi membantu pelajar-pelajar ini.
“Kaedah seperti bimbingan kaunseling, semangat daripada guru-guru bagi memupuk minat belajar adalah antara perkara yang boleh dilaksanakan,” ujar beliau ketika dihubungi.
Tambahnya, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar-pelajar untuk memahami kepentingan pendidikan.
“Pihak sekolah hanya boleh membantu untuk mendidik, memberi kefahaman dan sebagainya dalam menjadikan pelajar seorang insan yang berilmu.
“Namun, guru-guru juga boleh memberi perhatian yang sedikit ‘istimewa’ kepada pelajar-pelajar yang kurang berminat untuk belajar agar minat itu dapat disemai.
“Dalam pada masa sama, ibu bapa juga perlu memantau perkembangan anak-anak tidak boleh sambil lewa atau ambil mudah, perlu fahami atau ambil peduli keadaan semasa pendidikan mereka,” jelasnya.
Mengulas lanjut Mohd Nazri berkata masalah tersebut bukan sahaja memberi impak kepada masyarakat dan negara malah diri pelajar itu sendiri juga pada masa akan datang.
“Kesannya mampu dilihat seperti kesukaran untuk menyambung pelajaran kelak, malah begitu juga dalam alam pekerjaan nanti. Impak jangka masa panjangnya pula mungkin akan lebih teruk seperti terjadinya masalah-masalah sosial yang lebih berat kerana kerumitan ketidakhadiran menduduki SPM ini,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu masih ada sinar harapan buat pelajar tersebut, malah masyarakat jangan terus melabel atau memandang enteng kepada golongan tersebut.
“Mungkin mereka boleh dibentuk dengan memberi jalan penyelesaian alternatif lain seperti memasuki kolej komuniti atau GiatMARA serta menyertai Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Jika mahu bekerja sendiri, beri peluang kepada mereka namun pada masa sama cuba upskill diri dengan mengikuti kursus-kursus yang disediakan kerajaan untuk memperoleh sijil-sijil kemahiran.
“Malah sokongan keluarga serta teman rapat amat penting dalam memberikan panduan serta membentuk masa depan yang lebih baik buat mereka,” ujarnya.
Mohd Nazri menekankan bahawa pendidikan amat penting bagi mencorak keperibadian serta masa depan seseorang pelajar itu.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, dilaporkan berkata jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan. – WILAYAHKU