SERAMAI 92 orang peserta terdiri daripada 11 kumpulan pengkaji terlibat dalam Ekspedisi Saintifik Biodiversiti Taman Rimba Alam Putrajaya.
Ia melibatkan enam agensi iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan NEST Society Malaysia.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata kesemua kumpulan pengkaji akan menjalankan kerja-kerja ekspedisi selama enam bulan di dalam Taman Rimba Alam (TRA) merangkumi pelbagai bidang kajian yang berkaitan tumbuhan, kulat, serangga, alga, amfibia, burung, reptilia dan mamalia bermula 21 Mei hingga 20 November 2024.
“Penganjuran ekspedisi saintifik ini bertujuan untuk melihat dan menentukan keberkesanan pembangunan TRA berasaskan model hutan buatan melalui penilaian dan pengumpulan data-data maklumat flora dan fauna yang terdapat di taman tersebut sebagai panduan keberkesanan dan kelestariannya.
“Rekod dan pendokumentasian data-data flora fauna yang diperoleh di TRA akan dijadikan sebagai rujukan kepada PPj untuk perancangan dan pelan tindakan pada masa akan datang.
“Selain itu, ekspedisi ini juga dilaksanakan bagi membuka peluang kepada penyelidik serta pengkaji flora dan fauna untuk menjadikan TRA sebagai lokasi kawasan kajian setelah lebih 20 tahun ia dibangunkan dan dibuka kepada awam,” ujar beliau.
Menurut Fadlun, PPj sentiasa memacu usaha dan komited dalam memastikan Putrajaya menjadi sebuah bandar raya pentadbiran yang mampan dan bertaraf dunia melalui kualiti perkhidmatan terbaik serta pembangunan yang bersepadu dan terancang termasuk dalam memperkukuhkan kedudukan TRA ke peringkat yang lebih baik.
“Saya berharap TRA akan terus dipelihara dan dipulihara (conserve and preserve) agar khazanah warisan flora dan fauna yang tidak ternilai ini dapat diwarisi oleh generasi masa hadapan.
“TRA mempunyai keluasan sebanyak 165 hektar serta terletak di antara Presint 14 dan 15 Putrajaya yang menempatkan kepelbagaian spesies hutan hujan tropika yang mana sebahagian besar hutan adalah daripada spesies pokok hutan tanah pamah dipterokap.
“Taman ini berkonsepkan hutan bandar dengan menggabungkan ekosistem hutan tropika, sungai yang mengalir, denai alam semula jadi, kawasan pemandangan dan sebagainya,” ujarnya.
Lebih menarik, beliau berkata di taman yang menerima jolokan sebagai Khazanah Alam Putrajaya itu, para pengunjung berpeluang mengenali lebih 400 spesies pokok hutan teal dengan jumlah pokok yang telah ditanam melebihi 95,000 batang pokok.
“Pelbagai aktiviti rekreasi boleh dilakukan di sini seperti berjoging, brisk walk, berbasikal, treasure hunt, orienteering, lawatan berpandu, aktiviti memerhati burung, berkelah dan aktiviti penghayatan alam semula jadi.
“Terdapat empat laluan jelajah yang telah disediakan kepada pengunjung di TRA. Pengunjung yang melalui laluan tersebut akan dapat menghayati keindahan pelbagai spesies pokok-pokok hutan hujan tropika yang terdiri daripada cengal, meranti merah dan buah-buahan asli tempatan,” tambahnya.
Selain itu, Fadlun berkata pengunjung bukan sahaja dapat menghayati suasana hutan hujan tropika malah mereka juga diberi pendedahan dengan nama-nama pokok terdiri daripada pelbagai spesies yang terdapat di taman tersebut.
“Antara kemudahan yang disediakan di taman ini kepada pengunjung adalah pavilion sebagai tempat berkumpul, tandas awam, kemudahan tempat letak kereta, tong sampah, papan tanda informasi, peta laluan, tempat duduk dan sebagainya.
“Dalam masa sama, tempahan sewaan tapak bagi penganjuran program dan aktiviti turut dibuka kepada orang ramai,” ujar beliau.
TRA Presint 15, Putrajaya yang telah dibangunkan pada tahun 1999 adalah merupakan sebuah hutan tropika buatan manusia (man-made forest) hutan dipterokap tanah pamah. – WILAYAHKU