Fokus

Ekonomi stabil rakyat gembira

- Diterbit 25 November 2024 5:11 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

MALAYSIA menyaksikan peningkatan tahap kebahagiaan dalam kalangan rakyatnya bagi tempoh 2020 hingga 2023 melepasi tahap global tahun ini.

Berdasarkan Indeks Kebahagiaan mengikut negara, Malaysia berada pada tahap 77 peratus, lebih tinggi daripada purata 30 negara yang mencatatkan tahap 71 peratus.

Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 menunjukkan peningkatan 5.7 mata berbanding lima tahun sebelum ini iaitu daripada 81.24 peratus pada 2019 kepada 86.94 peratus pada 2024.

Malaysia menduduki tempat ke-59 secara global dengan Indeks Kebahagiaan sebanyak 5.975 di belakang negara ASEAN lain seperti Singapura, Filipina dan Vietnam tetapi mengatasi Indonesia, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Menurut Pensyarah Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts Nurul Aishah Ab Raman, prestasi yang ditunjukkan negara ini adalah penting untuk ditekuni makna di sebaliknya kerana ukuran nilai kebahagiaan jelas satu refleksi kepada keadaan ekonomi negara sihat.

“Ianya sekali gus dapat membasmi segala tanggapan negatif sesetengah pihak yang mendakwa rakyat menderita di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Tentunya banyak faktor yang menyumbang kepada hasil dapatan tersebut. Tetapi kita boleh rungkaikan antara penyebab kepada tingginya tahap kebahagiaan dalam kalangan rakyat Malaysia berbanding negara jiran di ASEAN adalah kerana pendapatan dan ekonomi yang stabil.

“Salah satu faktor utama yang dinilai dalam Indeks Kebahagiaan ini adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita yang mencerminkan kestabilan ekonomi dan tahap pendapatan rakyat.

“Malaysia memiliki ekonomi yang berkembang pesat dengan infrastruktur yang lebih baik berbanding beberapa negara ASEAN lain,” ujarnya.

Beliau berkata pendapatan yang lebih tinggi membolehkan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih baik, dengan akses kepada perumahan yang selesa, pendidikan berkualiti dan perkhidmatan kesihatan yang berkesan yang mana hal ini menyumbang kepada tahap kebahagiaan yang lebih tinggi.

“Seterusnya adalah sokongan sosial. Malaysia dikenali sebagai negara yang memiliki jaringan sosial yang kuat dalam kalangan masyarakatnya. Sokongan sosial yang meluas dalam kalangan keluarga, komuniti dan rakan sekerja dari segi emosi dan bantuan fizikal amat diperlukan terutamanya ketika berhadapan dengan kesulitan atau cabaran,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nurul Aishah berkata faktor kebebasan dalam membuat keputusan sendiri berkaitan dengan kehidupan seseorang turut mempengaruhi tahap kebahagiaan individu.

“Rakyat Malaysia mempunyai kebebasan yang tinggi untuk memilih pekerjaan, pendidikan serta gaya hidup yang mereka inginkan.

“Kebebasan ini mencerminkan sebuah negara yang lebih terbuka dan inklusif di mana rakyatnya boleh berusaha mencapai aspirasi mereka tanpa sekatan yang berat.

“Selain itu, jangka hayat yang sihat. Kesihatan merupakan salah satu faktor penting dalam Indeks Kebahagiaan. Rakyat Malaysia menikmati jangka hayat yang agak tinggi berbanding beberapa negara ASEAN lain.

“Dengan purata jangka hayat pada 76.58 peratus ketiga tertinggi di Asia Tenggara pada tahun ini, jelas cerminan kepada budaya hidup yang sihat. Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia adalah lebih baik dan boleh diakses oleh kebanyakan rakyat yang seterusnya menyumbang kepada kebahagiaan rakyat.

“Kualiti hidup yang baik, disokong oleh perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan mencukupi membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat dan memuaskan,” ujarnya.

Di samping itu, beliau berkata faktor lain seperti persepsi yang lebih rendah terhadap rasuah juga harus diambil kira kerana rasuah merupakan isu yang sering memberi kesan negatif kepada kesejahteraan rakyat.

“Malaysia telah berusaha untuk mengurangkan kadar rasuah melalui pelbagai inisiatif dan undang-undang, yang telah memperbaiki persepsi rakyat terhadap kerajaan dan sektor awam.

“Apabila rakyat mempunyai keyakinan terhadap keadilan dan kecekapan sesebuah institusi kerajaan, mereka lebih mudah berasa bahagia dan selesa. Ini adalah kerana mereka tidak merasa terabai atau terjejas oleh ketidakadilan yang mungkin timbul daripada amalan rasuah.

“Lain-lain faktor adalah kepedulian sosial. Budaya saling membantu dan kemurahan hati rakyat Malaysia juga mempengaruhi tahap kebahagiaan.

“Sikap saling menyayangi, bantuan komuniti dan aktiviti amal meningkatkan rasa kebersamaan dalam masyarakat antaranya aktiviti sukarela, bantuan kemanusiaan dan tindakan sosial mewujudkan ikatan sosial yang lebih kuat,” ujarnya.

KESEJAHTERAAN TERPELIHARA

SELAIN itu, Indeks Kebahagiaan dalam kalangan golongan muda dan warga emas juga berada dalam keadaan yang baik.

Berdasarkan data, golongan muda di Malaysia (usia bawah 30) berada di kedudukan ke-64 global dengan Indeks Kebahagiaan sebanyak 6.372 manakala warga emas (usia 60 ke atas) pula berada di kedudukan ke-71 dengan indeks 5.418.

Nurul Aishah berkata kebahagiaan golongan muda yang lebih tinggi mungkin disebabkan oleh peluang yang lebih tinggi dalam aspek pendidikan, kerjaya dan teknologi manakala bagi warga emas, sokongan sosial dan jaminan kesihatan memainkan peranan dalam membantu mereka merasa lebih bahagia walaupun menghadapi cabaran usia lanjut.

“Secara keseluruhannya, Malaysia menduduki tempat yang agak tinggi dalam kalangan negara ASEAN dari segi Indeks Kebahagiaan berbanding negara-negara jiran kerana beberapa faktor penting seperti kestabilan ekonomi, sokongan sosial yang kukuh, kebebasan dalam membuat pilihan hidup, kesihatan yang baik, persepsi yang rendah terhadap rasuah dan kemurahan hati.

“Kombinasi faktor-faktor ini mencerminkan usaha Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan rakyatnya sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara ASEAN yang lebih bahagia.

“Ibarat sebuah keluarga, Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan penuh adab ketimuran amat menghormati sebuah institusi kekeluargaan,” ujarnya.

Beliau berkata kejayaan sebuah negara harus bermula dengan institusi keluarga. Perasaan kasih sayang yang disemai dalam satu unit kecil dapat memberikan impak kepada pembentukan masyarakat yang penyayang dan penuh ihsan.

“Apabila kebahagiaan itu digapai, ia dapat memotivasikan diri untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat sekali gus negara dapat memperkasakan pembangunan modal insan, rakyat yang bertanggungjawab serta negara yang sejahtera.

“Pentadbiran dan tatakelola yang baik, jelas segala inisiatif kerajaan sehingga kini semakin membuahkan hasil dalam membentuk satu masyarakat MADANI,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas