Berita

Ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024

- Diterbit 14 Februari 2025 3:15 PM MYT

EKONOMI Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada 2023, didorong permintaan dalam negara yang terus berkembang dan pemulihan eksport.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih mantap, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah-langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh.

Selain itu jelasnya, kelulusan pelaburan yang mantap serta projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan pelaburan.

Katanya, ini termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional.

“Dari segi faktor luaran, eksport pulih berikutan pertumbuhan global yang stabil, peningkatan kitaran teknologi yang berterusan serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bank pusat itu menambah, keadaan tersebut memberikan sokongan kepada akaun semasa, yang selanjutnya terus menghasilkan lebihan sebanyak 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 (1.5 peratus pada 2023).

BNM menjelaskan, pada suku keempat 2024, inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.8 peratus.

Katanya, perkhidmatan komunikasi mudah alih dan petrol RON97 mencatatkan inflasi yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi dalam item berkaitan makanan lain, terutamanya sayur-sayuran segar serta ikan dan makanan laut.

Sementara itu, pada tahun lalu, ringgit mencatatkan penambahan nilai secara keseluruhan sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ringgit katanya, merupakan satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai berbanding dolar AS pada tahun 2024 selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai.

“Selain itu ringgit juga menambah nilai berbanding mata wang utama lain sepanjang 2024, termasuk dolar Singapura, won Korea dan yen Jepun, dengan penambahan nilai keseluruhan dicatatkan berbanding rakan-rakan perdagangan utama Malaysia.

“Prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit. BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur,” katanya.

Terdahulu Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pada masa hadapan, meskipun persekitaran global yang mencabar, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan yang mantap dalam aktiviti pelaburan, perbelanjaan isi rumah yang berterusan dan pengembangan dalam eksport, dengan sokongan asas ekonomi Malaysia yang teguh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas