PENCINTA durian dijemput hadir bagi memeriahkan Pesta Jom Kendurian Putrajaya 2024 dengan tawaran harga berpatutan bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3 bermula hari ini sehingga Ahad.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis durian terbaik dan menu berasaskan durian seperti cendol dan pulut durian.
“Inisiatif ini dapat membantu mempromosikan durian yang boleh disifatkan buah paling popular di Malaysia menerusi pesta berkenaan.
“Selain itu ia dapat memberi peluang kepada penduduk dan pengunjung untuk mendapatkan bekalan segar dari ladang.
“Sambil merasai pengalaman kendurian, orang ramai juga boleh bersantai di Dataran Putrajaya bersama keluarga dan rakan,” katanya selepas Majlis Perasmian Jom Kendurian Putrajaya 2024 hari ini.
Pesta ini turut menjanjikan harga berpatutan bermula serendah RM10/Kg untuk Durian Kampung Batu Kurau; Durian Kampung Kawen (RM13Kg); D24 (RM30/Kg), Ioi (RM35/Kg); D13 (RM35/Kg); Kawin (RM28/Kg); Musang King (RM55/Kg) dan Black Thorn (RM65/Kg) kepada pengunjung.
Dalam masa sama, Fadlun memaklumkan pelbagai pengisian menarik, pertandingan dan persembahan pentas telah disusun atur bagi memeriahkan lagi Pesta Jom Kendurian Putrajaya ini. – WILAYAHKU