Berita

Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman rejim zionis

Foto; BERNAMA
- Diterbit 18 Mac 2025 1:00 PM MYT

DUNIA tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman berterusan dilakukan rejim zionis yang menambah lagi penderitaan rakyat Palestin.

Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar susulan insiden tragis menimpa petugas kemanusiaan di bawah seliaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Gaza.

Jelas beliau, tindakan Israel itu merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, yang secara jelas melindungi petugas kemanusiaan dalam zon peperangan.

“Serangan terhadap mereka yang berusaha menyampaikan bantuan kemanusiaan adalah jenayah yang tidak boleh diterima dan perlu dikecam oleh seluruh masyarakat dunia.

“Saya merakamkan rasa dukacita dan takziah terhadap insiden tragis yang menimpa petugas kemanusiaan terbabit yang telah syahid akibat tindakan pengeboman oleh rejim Israel di pusat bantuan kemanusiaan di Gaza. Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini yang jelas melanggar prinsip asas kemanusiaan,” katanya.

Untuk itu Mohd Na’im menegaskan bahawa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan terus membantu Palestin.

“Saya menggesa supaya rakyat Malaysia terus berdoa serta membaca Qunut Nazilah demi kemenangan Palestin dan terus memberi sokongan kepada perjuangan mereka.

“Kita perlu bersatu dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban hidup saudara-saudara kita di Gaza yang semakin terhimpit dengan kezaliman yang berterusan.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta semua petugas kemanusiaan yang berjuang demi membantu mereka,” katanya.

Terdahulu lapan petugas kemanusiaan MAPIM maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, serangan tersebut berlaku pada pukul 1.30 petang ketika para petugas sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat genosid berterusan Israel. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas