SEJARAH membuktikan wanita memainkan peranan besar dalam pembentukan peradaban Islam yang bukan sekadar berada di belakang tabir tetapi turut menyumbang dalam aspek pentadbiran, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melihat dunia hari ini memerlukan lebih ramai wanita yang berani, berwawasan dan mempunyai hikmah dalam kepimpinan.
Untuk itu beliau menyeru agar wanita tidak takut untuk melangkah ke hadapan, memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara dan menjadi ejen perubahan ke arah masyarakat yang lebih sejahtera.
“Saidatina Khadijah RA, seorang wanita yang bukan sahaja menjadi isteri Rasulullah SAW, tetapi juga seorang ahli perniagaan yang berjaya dan pendukung utama dakwah Islam. Begitu juga dengan Saidatina Aisyah RA, seorang ilmuwan dan perawi hadis yang ilmunya menjadi rujukan sepanjang zaman.
“Kepimpinan wanita dalam Islam bukan sekadar berada di belakang tabir, tetapi turut menyumbang secara langsung dalam aspek pentadbiran, pendidikan, dan pembangunan masyarakat. Wanita bukan hanya pelengkap, tetapi pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan nilai-nilai hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Ilmu MADANI: Wanita Mukminah Kepimpinan Berhikmah di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
Yang turut hadir Setiausha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Pada majlis itu 1,000 wanita yang memerlukan menerima sumbangan hari raya.
Wan Azizah yang juga isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang membanggakan apabila universiti pertama di dunia juga diasaskan seorang wanita Islam.
“Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi pengasasnya merupakan seorang wanita Islam, Fatima al-Fihri,” katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu kepimpinan yang berhikmah berasaskan kepada nilai-nilai keimanan dan ketakwaan di mana seorang pemimpin wanita mukminah perlu menjadikan iman dan takwa sebagai asas dalam setiap tindakan.
Selain itu katanya, keilmuan dan kebijaksanaan dengan wanita yang berilmu mampu membuat keputusan yang bijak dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Seterusnya keadilan dan kesaksamaan dengan kepimpinan yang baik menuntut ketelusan dan keadilan dalam semua aspek kehidupan/
“Akhir sekali kasih sayang dan empat. Seorang pemimpin yang berhikmah memahami keperluan rakyat dan membimbing mereka dengan penuh kelembutan dan ketegasan pada tempatnya,” katanya. – WILAYAHKU