DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan untuk tidak terlalu melayani kerenah picisan dan kenyataan hambar sesetengah pihak yang disifatkannya tidak membantunya mengemudi negara mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang, termasuk isu-isu kemanusiaan.
Beliau memberi contoh dalam beberapa perbincangan termasuk di Parlimen, apa juga langkah yang dibuat pastinya akan disinggung termasuk isu-isu berkaitan Gaza dan Palestin.
“Bila sebut Gaza dan Palestin, suara kita didengar. Tetapi sementara satu dunia iktiraf, masih ada suara-suara yang mengatakan kita ini masih keliru untuk menyokong Israel.
“Dan baru-baru ini saya ke lima negara tentunya naik pesawat MAS (Malaysia Airlines), belanjanya tentu tinggi. Jadi kita anjurkan syarikat-syarikat swasta yang ada potensi melabur atau pun sedang melabur, Proton, Petronas, Sapura Energy, syarikat-syarikat semikonduktor, mereka menyertai rombongan dan membayar kos.
“Itupun jadi salah,” katanya dalam nada kecewa ketika sesi Townhall Bersama Perdana Menteri sempena sambutan dua tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur hari ini.
Sesi itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dengan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak selaku moderator.
Yang turut hadir isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, barisan Kabinet dan timbalan menteri serta perwakilan asing.
Untuk itu jelas Perdana Menteri, dalam memacu negara untuk terus maju pada masa depan, semua pihak tidak seharusnya terbawa-bawa dengan sentimen negatif.
“Saya masih yakin, seandainya setelah melihat kemampuan kita dua tahun ini, dengan pasukan dan penjawat awam dan sektor swasta dan keghairahan anak-anak muda diberi latihan, kalau kita dapat teruskan, tingkatkan lagi, saya yakin, insya-Allah, beri ruang kita lihat wajah Malaysia di dalam negara dan seantero dunia, akan lihat Malaysia yang baru, yang gagah, hebat,” tegasnya.
Baru-baru ini pembangkang memainkan isu kononnya Perdana Menteri menyokong Israel mengikut pemahaman yang diambil video sekerat-sekerat daripada temu bual pemimpin negara itu dalam CNN.
Walau bagaimanapun Anwar menegaskan beliau di pentas antarabangsa sudah menyatakan pendirian untuk tidak mengiktiraf Israel malah mengusulkan rejim zionis itu disingkirkan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malah menurut Perdana Menteri, dalam ucapan di Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, beliau secara lantang mengatakan tindakan barbarian (tidak bertamadun) Israel mesti dihentikan.
Terdahulu, Anwar serta dua Timbalan Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia.
Deklarasi yang dilancarkan pada program itu dimeterai oleh semua pentadbiran kerajaan negeri, mencerminkan komitmen penjawat awam seluruh negara untuk menyokong sepenuhnya agenda reformasi perkhidmatan awam. – WILAYAHKU