KETUA Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan meletakkan sasaran untuk menjadikan skuad Harimau Malaya sebagai pasukan paling cergas di Asia.
Menurutnya perjalanan tersebut masih panjang namun ia tidak mustahil untuk dicapai dengan memberi tumpuan terhadap aspek sians sukan.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan pasukan kebangsaan Malaysia sebagai pasukan paling cergas di Asia. Ketika ini perjalanan kita masih panjang.
“Tetapi kita akan sampai ke tahap tersebut. Ini semua berkait dengan strategi yang bakal kita guna pakai. Usaha ini harus selari dengan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di laman media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mempunyai pengalaman luas terutama dalam bidang perubatan, Duncan sudah mula merancang untuk menerapkan rangka kerja ‘bertaraf dunia’ dalam struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.
“Pengalaman saya amat luas. Saya pernah bekerja dengan beberapa negara sebelum saya membuat keputusan untuk menyertai revolusi pasukan kebangsaan Malaysia ini.
“Secara asasnya, tugas selaku ketua prestasi tinggi adalah menguruskan perkara-perkara berkaitan dengan sains sukan, sains perubatan, kecergasan, nutrisi dan juga psikologi pemain.
“Bagi saya, semua aspek tersebut amat penting untuk memaksimumkan prestasi setiap pemain bagi membantu tugas ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya.
Dalam pada itu, Ducan megakui kagum dengan projek revolusi Harimau Malaya dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Saya sangat teruja setelah bertemu dengan ahli pasukan saya termasuk fisioterapi, jurulatih kecergasan serta bahagian perubatan sains sukan.
“Saya tahu yang kami boleh bekerjasama dan menghasilkan lebih banyak aspek positif dalam pasukan,” ujarnya.
Selain Duncan dan Cklamovski, projek tersebut turut menyaksikan pelantikan bekas pemain Kanada, Robert Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya. – WILAYAHKU