
Berkongsi kisah untuk dijadikan inspirasi bagi golongan muda‚ pengusaha Karyabhara The Hipster Cafe yang terletak di Wangsa Delima‚ Wangsa Maju ini berkata seawal usia 18 tahun dia telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
“Kali pertama saya mula berniaga setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Waktu itu saya jual kuih-muih. Setiap hari selepas solat Zuhur‚ saya mula membuat kuih bersama pembantu dan selepas Asar‚ saya akan keluar membawa sebakul kuih ke sekitar Putrajaya.
“Alhamdulillah berkat kesungguhan‚ akhirnya pelanggan mula mengenali dan mereka minta untuk saya jual kek coklat pula. Dari situ saya giat lagi belajar membuat kek daripada mama selain turut mengikuti kelas masakan‚” katanya dengan kek yang diusahakan ketika itu diberi nama Kek Cokelat Sedapnya oleh ibu dan bapanya.
Kongsi Jumaitul kepada Wilayahku‚ tidak pernah sesekali terlintas di dalam fikirannya ketika itu rasa malu menjual kuih malah dia bersyukur dengan sambutan yang diterima hasil air tangannya.
“Kejayaan yang bermula dari bawah akan lebih bermakna daripada kejayaan yang datang bergolek tanpa usaha gigih kerana kesusahan itu mengajar kita untuk menjadi kuat dan bertahan dengan cabaran mendatang.
“Selepas tamat pengajian dalam Sarjana Muda Seni Kreativiti Multimedia di Universiti Limkokwing pada 2014‚ saya mula menceburkan diri sepenuh masa dalam perniagaan F&B. Itulah detik permulaannya. Perniagaan ini adalah perniagaan keluarga yang diberi nama Karyabhara The Hipster Cafe.
“Ia sudah menjadi sinonim dalam keluarga sebab mama dan papa dulu pun membesar dengan dunia F&B. Uniknya Karyabhara ini kami usahakan bersama. Dalam kesibukan kami‚ masa berkualiti dengan keluarga tetap ada‚ itu yang kedua ibu bapa didik supaya kami adik-beradik ini kuat dan sentiasa ada antara satu sama lain.
“Namun tidak dinafikan banyak cabaran dalam dunia F&B ini contohnya‚ dari segi kualiti makanan sebab kita nak jamu orang makan. Kalau tak sedap itu ia adalah tanggungjawab kita kerana jika sesuatu berlaku pada pelanggan‚ kita akan hadapi masalah.
“Keduanya cara kita berurusan dengan pelanggan. Kalau sekali orang datang‚ kita mesti pastikan mereka akan ulang datang untuk waktu seterusnya. Biasanya pelanggan akan komen‚ Karyabhara ini adalah rumah kedua mereka‚” katanya.
Jelasnya antara kesukaran yang biasanya dihadapi dalam perniagaan F&B adalah dari segi pemilihan lokasi‚ tempat parkir dan peralatan yang lengkap.
“Dalam perniagaan ini‚ kena ada macam-macam supaya pelanggan tak bosan. Memang kena ikut vibes dan lokasi supaya kita seiring dengan peniaga yang lain. Lagi-lagi zaman sekarang perlu ikut trending‚ apa yang viral jika baik‚ kita cuba‚” katanya selain menu masakan Melayu‚ Karyabhara menawarkan menu Bekpes Mur Mur dan bakar-bakar.
Berkongsi lanjut‚ Jumaitul berkata dia turut tidak terlepas dengan taktik kotor mereka yang tidak berpuas hati terhadap perniagaan yang diusahakan.
“Namun saya berpegang kepada satu perkara bahawa apa pun bergantung pada niat dan percaya pada rezeki dari Allah. Kita usaha cara yang mana terbaik.
“Sehingga kini saya sentiasa berpegang kepada tip yang dikongsi oleh ibu bapa saya iaitu perniagaan ini kena fokus dan istiqamah. Bila kita fokus‚ kita akan jadi multitask‚ pelbagai perkara boleh buat dengan target kita. Insya-Allah akan berpuas hati dengan keberhasilannya‚” katanya.
Dia turut berharap satu hari nanti Karyabhara akan berdiri dengan megahnya di lokasi khas yang terdiri daripada pelbagai kemudahan seperti tempat parkir yang luas lengkap dengan dewan untuk acara seperti perkahwinan dan sebagainya selain berkembang maju di seluruh Malaysia. – WILAYAHKU