KERAJAAN dan pembangkang perlu berbincang bersama secara serius berhubung draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Ahad lalu, kata penganalisis politik.
Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata kedua-dua pihak perlu duduk semeja jika objektif MoU adalah untuk mencari kestabilan politik.
“Ini bagi jaminan mengenai Dana Pembangunan Kawasan Parlimen (Constituency Development Fund) dan juga kemakmuran ekonomi sebagaimana yang ternyata dalam MoU itu sendiri. Ini kerana proses draf MoU itu sudah terlalu lama. Sebaiknya dimeterai segera,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmir meminta pembangkang menghentikan polemik draf MoU peruntukan itu.
Beliau berkata jika tidak diselesaikan segera, kerajaan boleh sahaja menghentikan proses MoU itu sekiranya berpendapat tiada keperluan dan kerajaan kukuh tanpa MoU tersebut.
“Pembangkang pula, perlu terus pandang ke hadapan untuk terus berfungsi sebagai pembangkang. Soal CDF itu perlu punyai alternatif lain,” katanya.
Pada Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak Hamzah.
Menurut Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.
Justeru, beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Dalam kenyataan itu, Fadillah menghuraikan enam perkara mengenai draf MoU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi Perikatan Nasional (PN), obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.
Obligasi PN pula ialah menyentuh mengenai peranan dan fungsi Ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
Hamzah berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara kerajaan dengan parti PN dan antara kerajaan dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.
Awal bulan ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan terdapat tujuh syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Julai lalu dilaporkan berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata beliau tidak melihat satu syarat dari draf MoU itu yang melanggar Perlembagaan.
Beliau berkata apa diminta dalam MoU itu hanyalah tidak menyentuh isu sensitif.
“Ego politik memainkan peranan besar sehingga PN menolak syarat-syarat draf MoU daripada kerajaan. Di sini yang rugi bukan kerajaan atau PN. Tetapi sebaliknya yang rugi penduduk di kawasan pembangkang yang tidak dapat peruntukan,” katanya. – WILAYAHKU