TAMAN Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima anugerah penarafan 5 bintang Rosa-sinensis sempena Hari Landskap Negara 2022.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan anugerah tersebut sebagai bukti Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi di bawahnya serius dalam memulihara taman-taman awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Saya bersyukur kerana DBKL telah mendapat dua anugerah, dan kita berharap pada tahun hadapan, dapat menggondol semua anugerah.
“Banyak tempat yang kita kenal pasti sebagai tempat taman awam, termasuk di Putrajaya dan Labuan. Untuk itu, kita akan perindahkan lagi dengan landskap menarik dan dengan cara tersebut, kita boleh mendapat semua anugerah pada tahun hadapan,” katanya kepada Wilayahku selepas Sambutan Hari Landskap Negara 2022 di Taman Bandar Ekoflora dekat Johor Bahru pada Sabtu.
Perasmian Hari Landskap Negara 2022 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Anugerah penarafan 5 Rosa-sinensis sebagai satu inisiatif penarafan kepada taman awam dan kawasan hijau yang dirancang, dibangun dan diurus secara komprehensif yang memenuhi fungsi pembangunannya.
Menurut Shahidan, apabila taman-taman awam di Wilayah Persekutuan dibangunkan dengan landskap yang menarik, ia boleh menjadi tumpuan warga tempatan untuk beriadah selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara sekali gus boleh merancakkan ekonomi di kawasan setempat.
Sementara itu, Mahadi menyifatkan anugerah yang diterima untuk dua taman awam di bawah DBKL sebagai berharga dan penting kerana anugerah tersebut diuruskan oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) dan meninjau keseluruhan taman-taman awam yang ada di seluruh negara.
“Kita telah memperolehi dua pengiktirafan daripada JLN, jadi ini satu pencapaian yang hebat dan membanggakan. Saya mohon juga kepercayaan yang diberikan ini akan dikekalkan dengan standard yang diamalkan.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan DBKL yang terlibat secara langsung dengan penjagaan, perancangan dan pembangunan taman-taman awam di Kuala Lumpur,” katanya yang turut berikrar untuk terus menjaga dan memelihara taman-taman awam di ibu negara sebagai khazanah berharga negara.
Mahadi berkata, perancangan DBKL pada masa depan mestilah mempertahankan penarafan yang diterima selain persaingan akan menjadi lebih sengit disebabkan anugerah tersebut diuruskan oleh JLN sendiri.
“Saya yakin, persaingan akan datang menjadi semakin sengit dan kita tidak boleh setakat di sini sahaja. Seboleh-bolehnya, kita mesti terus unggul dan terus menjaga kemenangan ini. Saya tidak pasti sama ada kita dapat bertahan dengan kejayaan ini, saya yakin PBT lain akan bersungguh-sungguh mencuba sedaya upaya untuk menaik taraf taman-taman awam di bawah kendalian mereka untuk memenangi anugerah yang sama.
“Namun, seperti biasa kita tidak boleh alpa dan mesti terus bekerja dengan lebih kuat sekali gus mempertahankan penarafan ini dan kita juga menyasarkan beberapa taman awam yang lain di ibu kota untuk turut tersenarai dalam penarafan 5 Rosa-sinensis ini.
Tambahnya, Perdana Menteri sempat berkata akan meluangkan masa untuk memantau dan menggunakan taman-taman ini dan mengaharapkan DBKL akan terus menjaga dan membela taman-taman awam ini. – WILAYAHKU