Berita

Dua tahun Kerajaan MADANI: Tiada konflik serius

Malaysia sebuah negara kuasa pertengahan kedua yang mula mendapatkan pelaburan luar negara.
- Diterbit 13 Disember 2024 4:17 PM MYT

TIADA konflik yang serius serta berjaya mengendurkan pertembungan politik dalam negara merupakan antara kejayaan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenainya, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan dua tahun di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya menggilap kesepakatan sekali gus mengawal suhu politik.

“Antara perubahan positif adalah politik negara yang stabil dan tidak ada satu pertembungan politik yang melihat kepada wujudnya satu perkara atau keadaan yang boleh membahayakan kedudukan politik negara.

“Negara juga lebih stabil menyebabkan perancangan melonjakkan ekonomi dan sosial di landasan yang betul,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menjelas lanjut, perubahan positif yang dapat dirasai semua pihak melibatkan faktor ekonomi di mana nilai ringgit dilihat mula berubah selain faktor pelaburan luar dan keyakinan masyarakat luar negara kepada Malaysia.

“Keyakinan ini dizahirkan khususnya komuniti perniagaan antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai sebuah negara ASEAN yang stabil dan negara kuasa pertengahan kedua yang mula mendapatkan pelaburan luar negara, jaringan diplomasi dan dikenali di rantau ini,” katanya.

Ujar beliau, elemen diplomasi awam adalah pencapaian terbaik apabila Anwar mendapat liputan yang baik hasil daripada kerja keras dan usaha untuk membawa isu-isu kemanusiaan khususnya Palestin dan isu-isu kepentingan kemanusiaan di seluruh dunia.

“Perkara-perkara lain termasuklah isu keselamatan masyarakat seperti penambahbaikan elemen-elemen keselamatan, dalam bentuk komunikasi keselamatan, keselamatan persekitaran mahupun keselamatan pekerjaan.

“Ia juga dilihat sebagai salah satu pengkhususan dalam perancangan-perancangan elemen berteraskan kepentingan negara malah antara perkara-perkara yang boleh dibanggakan adalah kepentingan kepada  kestabilan yang lain meliputi kejayaan menyediakan sumber makanan yang terjamin dan mencukupi selain berjaya memastikan harga barangan stabil.

“Malah tidak berlaku satu isu yang menjejaskan penawaran makanan yang baik dan sihat kepada masyarakat berbanding masalah dahulu yang telah berlanjutan selama ini khususnya melibatkan krisis makanan yang telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata antara aspek positif lain adalah Kerajaan Perpaduan mengambil inisiatif untuk menambah baik pentadbiran awam yang manfaatnya akan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kita dapat lihat kepimpinan negara telah berjaya mewujudkan keadaan untuk penjawat awam mempamerkan prestasi yang lebih efisien malah Perdana Menteri turut memperkenalkan skim-skim berdaya saing yang dilihat mengangkat dan membela penjawat awam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas