KEPIMPINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara berteraskan Malaysia MADANI diakui ‘luar biasa’ dalam memulihkan ekonomi.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, tempoh itu merupakan tugas mencabar dan berjaya ditempuhi oleh Anwar dan barisan menteri Kabinet dengan cemerlang.
“Saya yakin Malaysia selepas ini tidak perlu setakat menjadi negara yang dihormati sebagai Harimau Asia, tetapi kita sekarang lebih ke hadapan mencipta nama sebagai Harimau Dunia,” katanya.
Menurutnya dua tahun bukan tempoh yang panjang tetapi usaha yang dilakukan diakui ‘luar biasa’ untuk memulihkan ekonomi, menarik pelabur luar untuk bertapak dan meningkatkan pelaburan.
“Perdana Menteri juga giat meneroka pasaran dunia dengan lawatan rasmi serta bertemu dengan pelabur yang berpotensi,” katanya.
Tambah Tawfiq dalam kekangan mewarisi pentadbiran sebelumnya yang banyak meninggalkan kelemahan, Anwar berjaya menangani masalah yang ditinggalkan.
Beliau membuktikan berjaya memulangkan semula hasil negara untuk kenaikan gaji penjawat awam, mekanisme subsidi bersasar bagi membasmi ketirisan dan agihan ekonomi kepada golongan yang berhak menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ditambah nilai dan inisiatif ekonomi lain yang dapat dirasai oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Tawfik berkata dalam konteks politik beliau mempunyai keazaman politik yang tidak terjangka apabila mampu menjadi jambatan kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Ujar Tawfik, Anwar juga berjaya menamatkan politiking sepanjang masa yang mengganggu proses pembangunan negara, keamanan dan keharmonian rakyat. – WILAYAHKU