Berita

Dua RUU perkukuh aspek pengurusan Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan

- Diterbit 5 Disember 2024 10:47 AM MYT

RANG Undang-Undang (RUU) Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 yang dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua esok mampu memperkukuh aspek pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ia turut melibatkan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Menurut beliau, RUU berkenaan juga memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di wilayah berkenaan.

“Pindaan-pindaan yang dicadangkan ini akan memberikan kebaikan, manfaat dan memudahkan urusan masyarakat Islam di Mahkamah Syariah khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Musa berkata, sebagai sebuah entiti utama yang menaungi peguam syarie dan sebagai perantara antara peguam syarie dan masyarakat, PGSM menyokong kedua-dua RUU tersebut.

Malah beliau mengharapkan agar ia dapat disokong dan diterima oleh semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau berkata, antara cadangan pindaan-pindaan itu adalah seksyen baharu 40A dalam RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam membolehkan seseorang Hakim atau Pendaftar Mahkamah Syariah menjalankan suatu prosiding bagi kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Ia katanya, mengambil kira terdapat keadaan darurat atau hal keadaan kes itu, asalkan perjalanan prosiding mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa, hukum syarak dan apa-apa arahan yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Selain itu katanya, perjalanan prosiding itu tidak menjejaskan keadilan, tidak melibatkan penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak terdapat unsur keraguan, penipuan dan syak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas