Berita

Dua pesawat TUDM diterbang ke Mesir untuk bawa rakyat Palestin ke Malaysia untuk dirawat

- Diterbit 15 Ogos 2024 12:00 PM MYT

DUA pesawat pengangkut Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama dan berkata segala butiran berhubung misi tersebut akan dimaklumkan dalam minggu ini.

“Ya. Diminta untuk tunggu hingga Jumaat ini, butiran akan dimaklumkan,” katanya ringkas.

Pada 4 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato dalam acara kemuncak pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas