KERJASAMA antara Malaysia dan Republik Rakyat China dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital diperkukuh menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semalam di Beijing.
Menurut Pejabat Menteri Digital, MoU itu dimeterai antara Malaysia dan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) China, dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden China, Xi Jinping.
“MoU ini mencerminkan komitmen bersama untuk meneroka potensi ekonomi digital dan teknologi AI secara menyeluruh, selaras dengan dasar transformasi digital negara dan Kerajaan MADANI,” kata Pejabat Menteri Digital dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara MoU yang ditandatangani adalah untuk memberi tumpuan kepada promosi dan pembangunan ekonomi digital, manakala satu lagi memperkukuh kolaborasi teknologi AI antara kedua-dua negara.
“Antara komponen utama MoU ekonomi digital adalah penubuhan Kumpulan Kerja Bersama yang terdiri daripada wakil Pentadbiran Data Negara China dan Kementerian Digital Malaysia bagi menyelaras pelaksanaan projek dan dasar bersama.
“Kerjasama ini turut merangkumi aspek transformasi industri, inovasi teknologi, serta pembangunan bakat tempatan dan penyelidikan bersama,”
Bagi MoU berkaitan AI, Pejabat Menteri Digital menjelaskan bahawa ia akan memberi fokus kepada “pengukuhan infrastruktur AI, pembangunan set data, pertukaran teknikal, penetapan garis panduan etika dan keselamatan, serta usaha meningkatkan literasi awam dalam kemahiran berkaitan AI.”
“Kerjasama ini bertujuan memastikan penggunaan teknologi AI bukan sahaja selamat dan beretika, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Universiti Zhejiang untuk menjalin kerjasama strategik dalam bidang transformasi digital dan bandar pintar.
“Universiti Zhejiang merupakan institusi berprestij yang banyak melahirkan tokoh teknologi dunia seperti pengasas DeepSeek, DEEP Robotics dan Manycore Tech.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada pemindahan pengetahuan, latihan dan inovasi antara pemain industri serta sektor akademik.” katanya.
Pejabat Menteri Digital turut memaklumkan bahawa usaha ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, khususnya dalam menerajui agenda digital serantau.
“Malaysia komited untuk mengetuai perbincangan serantau berkaitan bandar pintar, keselamatan siber dan ekonomi digital, termasuk penganjuran Smart City Expo Kuala Lumpur pada September ini,” katanya. – WILAYAHKU