DUA lorong jalan raya bertingkat yang menghubungkan Petaling Jaya menghala ke Kuala Lumpur akan dibuka mulai 1 Julai 2023.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata pembukaan trafik dua lorong tersebut adalah untuk pembinaan seterusnya.
“Ia bagi membolehkan pembinaan fasa 2 jalan raya bertingkat tersebut,” katanya.
DBKL turut menasihatkan agar pengguna jalan raya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.
“Sebarang pertanyaan orang ramai boleh hubungi di talian berikut WCT Berhad (017-880 7090), Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran (03-2617 9000) atau Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (03-7434 7333),” ujarnya.
Terdahulu, lencongan trafik di Persimpangan Maarof telah dilakukan bagi memberi laluan pembinaan jejambat bertingkat baharu pada 29 Oktober 2022 yang merupakan laluan alternatif bagi pemandu yang datang dari Petaling Jaya menuju ke ibu negara.
Lebuh raya sepanjang 1.34km itu menghubungkan Persimpangan Maarof berhampiran Pavilion Damansara Heights sehingga Persimpangan Semantan (Lebuhraya SPRINT). -WILAYAHKU