Berita

Dua lelaki melecur, enam kenderaan musnah dalam kebakaran

- Diterbit 16 November 2024 2:53 AM MYT

DUA lelaki melecur di bahagian bahu dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Ranggu, Jalan Rancha-Rancha, di sini, awal pagi Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut menyebabkan enam buah kenderaan jenis Proton Saga, Iswara, Toyota Avanza, Hilux, Honda CRV dan Van Nissan Vanette musnah dijilat api dalam kebakaran.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rancha-Rancha dan Labuan Sentral dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu.

“Kebakaran membabitkan dua rumah kediaman yang musnah 90 dan 100 peratus manakala enam kereta pelbagai jenis turut terbakar.

“Dua lelaki berusia 20 dan 38 cedera ringan melecur di bahu kanan dan kiri. Rawatan awal dijalankan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran, empat pancutan dengan sumber air dari jentera dan pili bomba berhampiran.

“Keadaan terkawal 39 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada pukul 4.27 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas