SEJUMLAH 3,847 kes kanak-kanak hilang direkodkan sejak 2020 sehingga September tahun ini dengan puratanya dua kes setiap hari.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tahun 2020, kes kanak-kanak hilang adalah 792 diikuti 2021 (594 kes), 2022 (902 kes), 2023 (779 kes).
Katanya, sepanjang tahun ini sehingga bulan lalu, sejumlah 780 kes dilaporkan.
“Puratanya 770 kes setahun, lebih kurang dua kes sehari.
“Daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang ini, umur 18 ke bawah, yang berjaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumpa semula adalah 96 peratus. Maknanya bagi setiap 100 hilang, 96 kita selamatkan dan yang meninggal dunia atau apabila jumpa mati, adalah 10.
“Jadi yang baki itu masih kita klasifikasikan sebagai masih hilang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha dilaksanakan pihak kementerian bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat.
Saifuddin berkata, dari segi kategori umur, kanak-kanak yang paling ramai hilang adalah berusia 13 hingga 15 tahun dengan jumlah 54 peratus manakala 37 peratus berusia 16 hingga 18 tahun.
Katanya, dari segi jantina, kanak-kanak perempuan paling ramai hilang dengan jumlah 74 peratus manakala bakinya adalah lelaki.
“Punca kanak-kanak ini hilang iaitu pertama, mereka mahu mencari kebebasan.
“Yang kedua, dia ikut kawan. Yang ketiga, dia ikut kekasih dan yang keempat adalah salah faham dengan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, antara usaha yang diberi tumpuan adalah program kesedaran di mana pada tahun ini sahaja, terdapat 457 program membabitkan 141,000 kanak-kanak sudah dilakukan.
“Yang paling penting bila lapor hilang, pertama hebahkan seluas mungkin. Kita gunakan Nur Alert, kita masukkan dalam portal kanak-kanak hilang setelah kita minta izin ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan kita luaskan pencarian.
“Bila kita jumpa, barulah kita profil kanak-kanak ini dan keluarganya. Selepas insiden kita temukan, biasanya kita berikan sokongan terutama dari segi moral dan psikologi kepada keluarga yang terbabit,” katanya. – WILAYAHKU