Biz

Dua kerja dalam satu masa

- Diterbit 16 Ogos 2024 3:00 PM MYT

BAK kata orang, jika ingin hidup senang maka kita perlu rajin bekerja lebih-lebih lagi ketika usia masih muda. Tak salah membanting tulang dan tenaga demi kehidupan lebih terjamin bersama insan tersayang.

Mengakui hal tersebut, gitaris kumpulan Kristal, Rody, 37, rela mengetepikan penat lelah melakukan dua kerja dalam satu masa untuk mencari pendapatan sampingan.

Kongsinya kepada Wilayahku, biarpun sibuk dengan karier dalam bidang seni namun dia tetap mencuri waktu untuk berniaga memandangkan dunia hiburan ada pasang dan surutnya.

Memilih untuk berniaga minuman di bawah label Warong Kopi dan Bootik, perniagaan yang diusahakan sejak Ogos 2022 mempunyai permintaan yang tinggi terutamanya dalam kalangan penggemar kopi.

“Sebenarnya idea tersebut tercetus kerana saya sendiri seorang pencinta kopi. Jadi dari situ saya terfikir, kenapa tidak berkongsi kopi kegemaran saya dengan orang lain. Bayangkan masa mula berniaga, untuk air kopi espresso, saya buat eksperimen sendiri.

“Alhamdulillah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan lebih-lebih lagi air tersebut diberi nama berdasarkan lagu-lagu popular Kristal antaranya Delaila, Seragam Hitam dan Kopi Maznah,” ujarnya.

Dengan harga yang berpatutan serendah RM7, saya mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan di mana rata-rata pelanggan menyifatkan harga tersebut murah dan berbaloi.

“Konsep saya berniaga mudah, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan saya kerana dalam bidang perniagaan makanan dan minuman, itu adalah kunci yang paling utama. Jika tak sedap, orang tak akan datang untuk kali yang kedua.

“Sekarang ini saya aktif berniaga di Pasar Saloma setiap minggu yang popular dengan tema 1950-an dan 1960-an selain turut membuka kios atas permintaan,” ujarnya ketika ditemui di Menara Seri Wilayah, Putrajaya baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang jatuh bangun dalam bisnes, Rody mengakui ketika awal berniaga dia pernah membuka kafe di Kajang namun agak sukar untuk bertahan atas pelbagai faktor.

“Pendapatan biasa-biasa sahaja tetapi boleh dikira agak struggle tambahan pula saya baru mula berjinak-jinak dalam perniagaan berbanding dengan kios yang lebih mendapat perhatian pelanggan. Jadi dari situ saya ambil keputusan untuk menutup kafe dan beri tumpuan kepada kios.

“Insya-Allah suatu hari nanti jika sudah stabil dan banyak pengalaman, saya ada impian juga untuk buka semula kafe sebab minat berniaga ini tidak pernah luput,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, dia sempat berpesan kepada golongan muda di luar sana agar jangan mudah putus asa dan takut untuk mencuba sesuatu yang baru kerana rezeki ada dimana-mana.

“Dalam keadaan ekonomi hari ini, tak salah untuk buat dua kerja dalam satu masa bagi menambah pendapatan sampingan agar hidup lebih tenang dan tidak terhimpit dengan beban kewangan,” nasihatnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas