DUA kapal milik Tentera Laut Jerman iaitu frigat FGS Baden-Wurttemberg dan kapal sokongan FGS Frankfurt Am Main berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang dalam rangka lawatan empat hari sehingga 18 Oktober ini.
Menurut Wisma Putra, ia sebahagian daripada pelayaran sempena German Navy Indo-Pacific Deployment 2024.
Katanya, semasa berlabuh, kapal-kapal tersebut akan menghoskan majlis resepsi, sesi dialog dengan pemain industri, lawatan berpandu ke kapal dan interaksi antara kru dengan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kapal-kapal tersebut dijadual berlepas pada 18 Oktober ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi.
“Semasa pelayaran, kapal-kapal tersebut akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, kunjungan kapal-kapal Tentera Laut Jerman tersebut mengesahkan hubungan erat antara Malaysia dan Jerman, yang telah menyaksikan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi khasnya lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac lalu.
Katanya, semasa lawatan berkenaan, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeyer.
“Ketika itu perbincangan tertumpu kepada kerjasama ekonomi yang semakin erat.
“Menerusi kunjungan ini dan kerjasama sedia ada yang berterusan dalam pelbagai bidang, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jerman,” katanya. – WILAYAHKU