Berita

Dua hari dilancarkan, Lelaki Terakhir nyanyian Fattah Amin trending di Youtube

- Diterbit 23 Februari 2025 1:10 PM MYT

BARU dilancarkan 21 Februari lalu, single terbaharu pelakon dan penyanyi Fattah Amin berjudul Lelaki Terakhir muncul trending di YouTube.

Lagu bergenre balada romantik itu mengisahkan tentang cinta sejati, kesetiaan, dan perjuangan dalam sebuah hubungan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat terhadap lagu itu.

“Saya tak menyangka Lelaki Terakhir akan diterima dengan begitu baik sehingga muncul trending di YouTube dalam masa yang singkat.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna bagi saya, dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong lagu ini,” katanya.

Ujar Fattah lagi, perjalanan menghasilkan lagu bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan pasukan yang hebat dan peminat yang sentiasa memberikan dorongan membuatkannya berasa lebih bersemangat untuk terus berkarya.

“Saya berharap lagu itu dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar,” katanya.

Menggunakan lirik yang puitis dan melodi yang menyentuh jiwa, Lelaki Terakhir menampilkan sisi emosional Fattah sebagai lelaki yang berjanji untuk sentiasa menjaga dan melindungi cinta sejatinya.

Dengan elemen muzik yang indah dan susunan melodi yang mendalam, lagu itu dicipta komposer dan produser muzik yang pernah mencipta lagu Wanita Terakhir iaitu Mel Ramlan.

Lebih menarik, Lelaki Terakhir turut mendapat sentuhan lirik oleh Fattah sendiri.

“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya harap lagu itu dapat memberikan inspirasi kepada semua pendengar. Lelaki Terakhir menampilkan gabungan muzik moden dengan sentuhan balada klasik, menjadikannya sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia.

“Lagu itu juga merupakan runut bunyi drama bersiri terbaru lakonan saya sebagai Ansara dalam Keluarga Itu arahan Nur Ain Sharif dan ditulis oleh Eirma Fatima yang akan mula ditayangkan pada 28 Febuari ini di slot eksklusif TV3 terbitan Rumah Karya Citra Sdn.Bhd,” katanya.

Lelaki Terakhir menonjolkan vokal Fattah yang semakin matang dalam menyampaikan emosi dan makna di sebalik setiap bait lirik.

Single Lelaki Terakhir boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan lain-lain.

Video muzik rasmi juga bakal dilancarkan dalam masa terdekat di saluran YouTube rasmi Fattah Amin. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas