DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan satu operasi bersepadu bagi merobohkan dua struktur haram di Jalan Sekilau, Taman Tenaga, Bandar Tun Razak.
Operasi yang dijalankan itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Selangor Sdn. Bhd. Tindakan perobohan dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Menurut kenyataan DBKL, dua buah gerai yang didapati didirikan secara tidak sah telah dirobohkan dalam operasi tersebut. Langkah ini diambil bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan persekitaran penduduk setempat.
“DBKL akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras pembinaan struktur haram di sekitar ibu kota,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti seumpama ini boleh mengemukakan aduan atau maklumat melalui pautan rasmi DBKL di: https://adukl.dbkl.gov.my.-WILAYAHKU