Berita

Drama di TikTok? Mana mungkin nak suruh Auntie, Uncle berlakon

MOHD NOOR HELMY (tiga dari kiri) cukup bersahaja dan mesra ketika turun padang bertemu rakyat.
- Diterbit 11 November 2024 6:29 PM MYT

NAMA Yang Berhormat (YB) DATUK MOHD NOOR HELMY ABDUL HALEM memang tidak asing lagi di lapangan media sosial khususnya TikTok dengan aksi bersahaja ketika menyelesaikan isu-isu rakyat.

Biarpun begitu, ada sahaja yang mengkritiknya sebagai menunjuk-nunjuk dan berdrama biarpun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong ini menegaskan ia dilakukan secara spontan.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka menegaskan mana mungkin hendak menyuruh orang ramai yang ditemuinya itu untuk berlakon dalam ‘drama sebabak’ di TikTok itu.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau turut mengakui lebih selesa untuk bersama rakyat di Duyong berbanding diberikan ruang berkhidmat di kerusi Parlimen.

Datuk semakin popular di media sosial khususnya TikTok. Mungkin ini cara ‘berkempen’ yang lebih berkesan memenangi hati rakyat?

Kalau nak ditakrifkan media sosial seperti TikTok sebagai cara untuk berkempen, sebenarnya pelbagai jenis takrifan yang kita boleh berikan. Akan tetapi, dalam pandangan saya media sosial seperti TikTok ini berteraskan tiga objektif utama.

Pertamanya, dengan adanya kesedaran dan pendidikan yang disampaikan kepada masyarakat melalui media sosial, kita dapat menerangkan isu-isu semasa yang telah diselesaikan kerajaan dalam kawasan tersebut.

Kedua, media sosial dilihat sebagai platform memainkan peranan mewujudkan interaksi antara masyarakat dengan pemimpin seperti dengan adanya ruang berkomunikasi dan aduan yang boleh dibuat bersama-sama. Oleh itu, secara tidak langsung ia akan merapatkan jurang antara masyarakat dengan pemimpin.

Dan ketiga, bagaimana kita memanfaatkan untuk menzahirkan transpirasi kerja yang kita laksanakan. Kesimpulannya, apabila ketiga-tiga perkara ini berjaya dihasilkan dengan baik, barulah datangnya sebahagian daripada kempen. Kempen itu bukanlah yang pertama, sebaliknya tiga objektif utama inilah yang perlu dilaksanakan dahulu dan barulah ia akan menjadi kempen.

Mungkin ada menerima kritikan? Mungkin ada yang kata ia sekadar drama? Menunjuk-nunjuk?

Sejujurnya pelbagai kritikan yang diterima akan tetapi buat masa ini saya sentiasa positif dengan kritikan. Saya menganggapnya kritikan membina dan yakin ia sedikit sebanyak pasti akan memberikan manfaat kepada saya untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Kalau hendak kata drama semata-mata untuk menunjuk-nunjuk ini terserah, tapi rasionalnya mudah. Mana mungkin saya hendak suruh auntie-auntie dan uncle-uncle di kawasan saya itu hafal skrip. Hendak suruh mereka berlakon jauh sekali.

Apa yang dilihat semuanya spontan. Maksudnya apa yang saya zahirkan adalah kehidupan yang ada di sekeliling kawasan saya.

Datuk dan juga ADUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dikatakan gandingan mantap atau pelapis pemimpin muda, tak di Melaka atau mungkin di peringkat nasional termasuk Parlimen. Komen Datuk?

Saya selalu dikatakan sebagai gandingan pelapis muda bersama Dr Akmal, saya rasa ia kurang tepat untuk konteks Melaka. Di negeri ini banyak kepimpinan muda. Sebagai contoh, Datuk Fairul Nizam Roslan (ADUN Asahan), Datuk Rais Yasin (ADUN Paya Rumput) dan Datuk Khaidirah Abu Zahar (ADUN Rim).

Semuanya pemimpin golongan muda. Cuma bezanya saya dengan Dr Akmal lebih terdedah di media sosial atau kata mudahnya, kami berdua lebih dikenali di media sosial.

Dalam konteks Parlimen, sama ada kami ke Parlimen atau tidak, ini adalah keputusan parti kerana apa sekalipun jawatan yang kami sandang ia adalah milik parti. Kami hanya pelaksana amanah dan secara peribadinya kualiti Parlimen itu saya tidak ada. Oleh itu, dengan kekurangan yang ada, biarlah saya di sini untuk masyarakat di kawasan saya iaitu di Duyong.

Barisan Nasional (BN) Melaka berada pada kedudukan cukup selesa apabila ‘menang besar’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021. Namun dalam PRU15, BN tewas dalam semua enam kerusi Parlimen. Apa puncanya?

Apabila BN kalah dalam semua kerusi Parlimen ketika PRU15, sudah pasti pelbagai andaian dan teori timbul. Secara dasarnya ia bergantung kepada Parlimen itu sendiri dan bukan semua kesalahan itu boleh ditakrifkan. Bukan semua punca itu boleh diletakkan kepada semua Parlimen kerana setiap Parlimen mempunyai isu berbeza. Perkara ini bukan lagi menjadi persoalan pada hari ini sebaliknya menjadi sebagai pengajaran. Persoalan yang sepatutnya adalah bagaimana isu ini harus ditangani dan diperbaiki? Bagaimana isu ini menjadi titik mula kepada kebangkitan BN kembali? Namun begitu BN di Melaka secara khusus telah berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat demi memastikannya kekal relevan, waima bersama mana-mana parti sekalipun sebagai kerajaan gabungan. Seperti yang dilihat hari ini, kepimpinan memutuskan untuk bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan dan BN di Melaka akur dengan keputusan yang telah dibuat.

Ketika ini bagaimana pula bacaan semasa Datuk terhadap pengundi di Melaka? Dapat menerima konsep Kerajaan Perpaduan?

Sudah pastinya di Melaka ada hampir satu juta orang penduduk yang mempunyai pandangan dan konsep berbeza terhadap Kerajaan Perpaduan. Pada awalnya ada yang suka, ada yang berduka dan ada juga yang tidak rasakan apa-apa. Namun begitu usaha yang telah dibuat kepimpinan kerajaan bersama sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan ini.

Kiraan kami di Melaka, persepsi masyarakat ini bertambah baik cuma sedikit sebanyak perlu diperhalusi lagi dari semasa ke semasa dan memerlukan penambahbaikan. Sehingga ke hari ini, kita dapat melihat perubahan persepsi masyarakat yang semakin baik ini telah menghasilkan impak yang positif untuk Melaka.

Bagaimana Datuk melihat komunikasi dan kerjasama parti-parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan, dalam konteks Melaka?

Gambaran mudah yang dapat saya jadikan contoh adalah di Parlimen Kota Melaka yang mempunyai Ahli Parlimen daripada DAP. Tiga ADUN adalah daripada DAP dan dua daripada BN. Kalau hari ini UMNO dikatakan meletakkan egonya, begitu juga DAP meletakkan egonya.

Sebelum ini kami masing-masing tidak pernah bekerjasama dalam apa jua keadaan, kini kami mengetepikan segala perbezaan demi membentuk persefahaman yang akan memberi kebaikan kepada rakyat.

Hari ini terbukti jelas di Kota Melaka, pembentukan kerjasama ini membuahkan hasil. Ikatan yang terjalin antara DAP dan UMNO telah memberi manfaat kepada masyarakat. Walaupun persepsi yang diterima berbeza dan masih ada yang menentang perkara sebegini, pada hakikatnya tidak boleh dinafikan hasil itulah yang telah memberi impak kepada kehidupan mereka. Terima kasih diucapkan kepada pemimpin-pemimpin PH kerana telah bersama-sama memilih meletakkan keperluan rakyat itu sebagai titik utama dalam apa jua usaha yang dibuat dan dalam apa jua kerjasama yang dilaksanakan.

Apakah isu-isu kompleks yang terdapat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong?

Di DUN Duyong terdapat dua isu yang saya warisi iaitu pembangunan infrastruktur dan masalah banjir. Ia tidak dapat diselesaikan kerana melibatkan isu teknikal seperti mendapatkan kebenaran tuan tanah yang mana tanah-tanah ini telah bertukar kepada generasi ketiga. Cukai tanah tersebut masih dibayar akan tetapi namanya tidak ditukar.

Disebabkan itu, untuk mendapatkan kebenaran pelaksanaan kerja sangat sukar dan perkara ini masih tidak menjumpai jalan penyelesaian. Kadang-kadang kita memerlukan keberanian untuk membuat keputusan bagi menangani sesetengah perkara dan bukan semua orang boleh menerimanya. Kesimpulannya, saya mengambil pendekatan meletakkan kepentingan majoriti paling utama. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman yang ada dalam bidang teknikal dan bantuan daripada agensi kerajaan yang sangat dedikasi dalam mencari penyelesaian, sedikit demi sedikit perkara ini diusahakan sehingga masalah itu dapat diselesaikan dengan sempurna dan jayanya.

Bagaimana pula dengan perkembangan sains, teknologi dan inovasi di peringkat negeri Melaka? Apa yang boleh dibanggakan setakat ini?

Kepimpinan Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka) amat menekankan kepentingan perkembangan sains, teknologi dan inovasi. Banyak yang diusahakan dan yang menjadi fokus utama adalah Projek Kampung Digital. Ia memfokuskan kepada penamaan semula alamat rumah kampung agar menjadi lebih tersusun.

Kita ambil contoh rumah yang tiada alamat jelas seperti KM 6, Perigi Hang Tuah Duyong, 75460 Melaka. Alamat ini susah untuk dikesan oleh sesetengah pihak, maka dengan itu kerajaan negeri mengusahakan untuk mendigitalkan alamat rumah seperti ini supaya lebih tersusun dan mudah untuk dikesan.

Oleh itu, sebarang komunikasi dan hubungan akan lebih jelas dan daripada usaha Projek Kampung Digital inilah akan menjadi titik permulaan untuk komunikasi dan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur yang lebih efektif dan berkesan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas