Berita

Draf MoU: Di mana klausa merugikan?

- Diterbit 20 September 2024 9:00 AM MYT

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) perlu mengemukakan jawapan dan alasan yang kukuh mengenai klausa yang didakwa merugikan mereka dan rakyat Malaysia.

Ini selepas pemimpinnya bertindak menolak memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang baru-baru ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari berkata  dalam draf MoU yang didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof jelas tidak mengikat dan mengunci mulut pembangkang daripada terus bersuara.

TAUFIQ Johari

Bahkan katanya, pembangkang sewajarnya memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik oleh pihak kerajaan.

“Persoalannya, mengapa pembangkang menolak sebuah usaha murni ini sedangkan setiap kali sidang dewan, mereka berkali-kali menuntut agar diberikan peruntukan yang sama?

“Adakah pembangkang sedia mengemukakan draf alternatif bagi dinilai untuk perbincangan selanjutnya? Di manakah klausa yang merugikan Ahli Parlimen pembangkang dan rakyat Malaysia?,” soalnya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Mohammed Taufiq, kerajaan sedia untuk memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen di mana perkara ini tidak dilakukan ketika zaman Pengerusi PN menjadi Perdana Menteri.

“Namun, ia mestilah berlandaskan sebuah persefahaman yang menguntungkan rakyat dan negara,” tegasnya.

Beliau memberitahu, peruntukan Ahli Parlimen tidak termaktub dalam Akta Perkhidmatan Parlimen dan ia merupakan peruntukan khas serta hak mutlak budi bicara Perdana Menteri.

Katanya, meskipun tidak disalurkan kepada wakil rakyat, peruntukan tersebut tetap diberikan secara terus kepada rakyat melalui agensi dan kementerian.

“Kita kini sedang menuju ke sebuah senario politik yang matang di mana Ahli Parlimen sewajarnya berbahas dan berdebat mengenai sesebuah polisi negara, bukan berbalah dan terus berpolitik mengenai sentimen yang memecahbelahkan masyarakat.

“Sebagai pemimpin dan ahli politik, kita perlu tunjukkan sikap tauladan kepada rakyat dan persefahaman ini amatlah penting. Suatu MOU yang konstruktif antara pihak kerajaan dan pembangkang amatlah perlu dalam mencapai kesepakatan demi kebaikan bersama.

“Kita lihat pada zaman pemerintahan Ahli Parlimen Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), setiap gabungan parti menghantar wakil perunding dan terbuka pada perbincangan demi kepentingan rakyat. Namun ketua pembangkang  ketika ini telah menolak draf MoU tanpa alasan yang kukuh,” katanya.

Katanya, draf yang dibuat kerajaan adalah demi mencapai sebuah persefahaman yang membawa ke arah keharmonian negara.

“Isu penting mengenai hak keistimewaan orang Melayu, Bumiputera, Islam dan isu 3R (bangsa, agama dan raja) khususnya, tidak boleh digugat dan dipolitikkan.

“Kita lihat jika perkara-perkara ini tidak dicapai, maka akan wujud pelbagai aksi ahli politik yang menimbulkan kekacauan dalam negara kita. Kita perlu memainkan peranan dalam mengembalikan kepercayaan pelabur asing dan mengukuhkan kestabilan Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas