Berita

Dr Hafidzah tak gentar, kini ‘tungku berkaki tiga’

HAFIDZAH (tengah) ketika memberi sokongan dan semangat dalam menyemarakkan Liga Kejohanan Peringkat Komuniti Bola Sepak Kota Bharu 2024.
- Diterbit 25 November 2024 2:56 PM MYT

SATU-SATUNYA calon Pakatan Harapan (PH) yang berjaya meletakkan wakilnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Yang Berhormat (YB) DR HAFIDZAH MUSTAKIM mahu menjadi contoh terbaik kepada rakyat.

Biarpun dikelilingi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti yang menguasai negeri itu, beliau bergandingan bersama ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan kini ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani daripada Barisan Nasional (BN) memainkan peranan semak dan imbang.

Menerima jolokan ‘the little tiny red dot’, Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri (AWAN) Kelantan itu yakin rakyat Kelantan mampu membuat perubahan, lebih-lebih lagi dengan kemenangannya di kerusi DUN Kota Lama.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau berkongsi harapan yang cukup tinggi mahu melihat Kelantan mampu mencapai kejayaan seiring dengan keberanian untuk berubah.

Dikelilingi ADUN-ADUN parti lawan, cuma ada YB dan ADUN Galas serta ADUN Nenggiri bertindak sebagai pembangkang di DUN Kelantan. Bagaimana kesepakatan YB bersama ADUN BN setakat ini?

Alhamdulillah dari hari pertama kemenangan bersejarah 12 Ogos 2023 kerjasama antara ADUN Perpaduan PHBN begitu baik. Walaupun pelbagai jolokan diterima seperti ‘the little tiny red dot’ atau ‘hanya dua ADUN pembangkang satu di hilir (Kota Lama-YB Dr Hafidzah-PH) dan satu di hulu (Galas-YB Syahbuddin-BN) laksana batu nisan’ namun semangat kerjasama untuk memainkan peranan semak dan imbang dapat kami lakukan dengan baik. Malah kami aktif di dalam dan di luar sidang DUN membawa isu-isu kepentingan rakyat yang dapat menghangatkan DUN Kelantan. Terbaru kemenangan YB Azmawi bagi kerusi DUN Nenggiri menambah kekuatan kami menjadi tiga kerusi ibarat tungku berkaki tiga yang kukuh dan tak dapat digoyahkan lagi.

 

Selaku wakil rakyat daripada Amanah, mungkin ada cara YB menyemarakkan sokongan rakyat Kelantan untuk berani menukar sokongan kepada parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan?

Saya dapati rakyat Kelantan bijak-bijak dan kuat semangat. Itu sebab mereka tidak mudah menukar sokongan politik. Namun apa yang berlaku di Nenggiri memberikan kita keyakinan, dengan maklumat yang benar dibuktikan dengan bakti khidmat YB Azmawi di lapangan terus ke akar umbi pengundi dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada BN dan Kerajaan Perpaduan. Justeru saya akan menumpukan kerja menjadi wakil rakyat yang berkhidmat kepada semua rakyat DUN Kota Lama tanpa memilih bulu bagi menunjukkan wakil parti Kerajaan Perpaduan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dapat melakukan perubahan menyejahterakan kehidupan mereka.

 

Bagaimana YB melihat kualiti perbahasan dan isu-isu yang dibawa wakil rakyat parti pemerintah dalam sidang DUN? Memuaskan hati?

Peranan utama saya selain berkhidmat untuk rakyat adalah memainkan peranan semak dan imbang bagi pihak rakyat.

Biarpun kami minoriti bilangannya jauh berbanding parti kerajaan negeri Kelantan, hanya tiga berbanding 42, namun kami berupaya memberikan persembahan perbahasan mahupun membangkitkan soalan bagi pihak rakyat yang boleh menggentarkan pihak kerajaan. Kuncinya adalah kesepakatan antara kami dan persediaan rapi dibantu kumpulan penyelidik yang berdedikasi.

Seperkara yang mahu saya tekankan adalah pentingnya untuk rakyat Kelantan memilih pembangkang yang kuat dan DUN bagi pihak mereka bagi mengimbangi suara wakil kerajaan yang dipilih.

Kehadiran suara pembangkang yang kuat akan menjadikan sebuah kerajaan itu sentiasa waspada dan bersungguh-sungguh membuat dan melaksanakan polisi yang benar-benar menyejahterakan rakyat. Mana mungkin sebuah kerajaan itu kuat kalau nak bayar emolumen kakitangannya pun memerlukan bantuan pihak lain. Ini antara perkara yang perlu diketahui oleh rakyat.

 

DUN Kota Lama, selepas YB berjaya menempatkan logo PH di Kelantan, pastinya menjadi tumpuan rakyat melihat sejauh mana keberkesanan adanya PH di negeri ini. Apa pandangan YB?

Kemenangan PH sebagai mewakili parti Kerajaan Perpaduan di Kota Lama adalah kemenangan bersejarah. Ia berjaya memecahkan dominasi PAS di kerusi itu selama 24 tahun. Ini kemenangan bagi rakyat yang mahukan perubahan. Ada beberapa kunci kemenangan, antaranya kesatuan jentera parti komponen Kerajaan Perpaduan selain keterbukaan pemikiran pengundi yang bersedia berubah.

Sejurus selepas dipilih, saya terus melaksanakan tugas memberi khidmat kepada rakyat. Walaupun peruntukan diberikan kepada ADUN pembangkang hanyalah sebahagian daripada yang diberikan kepada ADUN kerajaan negeri, alhamdulillah kami dapat terus bergerak.

Gerak kerja kami mendapat perhatian parti lawan yang turut menggiatkan khidmat mereka. Akhirnya saya nampak rakyat DUN Kota Lama beruntung mendapat khidmat terbaik daripada semua pihak yang berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembangunan Kelantan menjadi penguat semangat kepada saya. Khusus bagi DUN Kota Lama, peruntukan RM7 juta untuk pembaikan Pasar Besar Siti Khadijah adalah bukti Kelantan tidak dianaktirikan Kerajaan MADANI. Kelancaran projek ini membenarkan kenyataan kerajaan ini mengotakan apa yang dikata.

 

Apa isu-isu lama yang diwarisi YB di DUN Kota Lama?

Masalah dan cabaran yang dihadapi rakyat berterusan sifatnya. Terutama kita berada pada fasa pasca COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sosioekonomi negara.

Saya mulakan tugas dengan kajian lapangan dikendalikan penyelidik muda bagi mengenal pasti keperluan penduduk Kota Lama. Kami dapati mereka memerlukan pembangunan dalam sosioekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

Daripada dapatan ini saya dan pasukan membangunkan Pelan Transformasi Kota Lama (PTKL) sebagai satu panduan membangunkan Kota Lama secara strategik. Dengan berpandukan PTKL ini saya dapat menyusun gerak kerja lebih teratur sekali gus memberikan khidmat bersasar bertepatan apa yang diperlukan penduduk.

 

Mampukah parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan menawan Kelantan?

Tiada apa yang mustahil. Saya lihat rakyat Kelantan sudah semakin bersedia menerima perubahan. Tinggal lagi mereka perlu diyakinkan pakatan parti Kerajaan Perpaduan ini dapat menjadi alternatif lebih baik daripada kerajaan negeri yang sudah memerintah selama 34 tahun. Untuk ini PHBN bukan sahaja mesti berpadu tetapi mesti dilihat benar-benar berpadu dan menzahirkan kesatuan dalam bentuk tindakan.

Matlamat saya adalah melahirkan rakyat Kelantan terutama golongan atas pagar yang dapat berfikir secara terbuka. Ia berpandukan maklumat yang benar di hujung jari yang dapat memandu mereka membuat keputusan bijak. Ini memberikan mereka keberanian membuat pilihan berdasarkan bukti dan prestasi, bukan hanya berdasarkan sentimen.

Kuasa anak muda begitu besar di Kelantan. Dengan jumlah lebih 700,000 orang berusia bawah 40 tahun, mereka merupakan 53 peratus daripada pengundi dan sememangnya boleh menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya. Mereka ibarat ‘the sleeping giant’ yang boleh menjadi kuasa pendesak kepada perubahan. Sebahagian besar orang muda ini dapat ditemui di alam maya. Maka pendekatan mesra anak muda melalui aktiviti sukan dan rekreasi selain interaksi di media sosial dan memanfaatkan teknologi secara tersusun mesti kami giatkan.

 

Untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, apakah mudah parti-parti politik Kerajaan Perpaduan membuat agihan kerusi di Kelantan? Apa cara terbaik?

Sentiasa ada cabaran dalam melakukan apa sahaja. Medan politik tidak terkecuali. Namun saya percaya jalan penyelesaian terbaik adalah melalui rundingan dan diplomasi. Alhamdulillah PH Kelantan telah mengorak langkah yang baik sebelum tibanya 2025. Jawatankuasa Pimpinan PH Peringkat Negeri dibentuk dan menunjukkan kesepakatan yang baik dari awal pembentukannya. Dengan sokongan padu pimpinan wanita dan pemuda PH Kelantan, kami yakin dapat mulakan kerjasama dengan BN merancang gerak kerja menghadapi PRU ke-16.

 

Bagaimana YB melihat sektor ekonomi di Kelantan?

 

Antara kayu ukur prestasi ekonomi adalah keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan sejauh mana ia menyumbang kepada KDNK negara. Walaupun KDNK Kelantan meningkat 2.6 peratus kepada RM26.7 bilion pada 2023, ia hanya mampu menyumbang 1.8 peratus kepada KDNK Malaysia. KDNK per kapita Kelantan juga paling rendah RM16,836 berbanding purata nasional RM54,612. Jika dilihat kadar pengangguran di Kelantan pula sebanyak 4.1 peratus berbanding kadar nasional 3.2 peratus.

Tidak hairanlah anak muda Kelantan terpaksa merantau ke luar negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang untuk mencari rezeki. Nampaknya ekosistem di Kelantan masih belum dapat merangsang pertumbuhan ekonomi mahupun menarik pelabur luar untuk membantu pertumbuhannya.

 

Misi dan visi YB selepas ini dalam politik di Kelantan?

Visi saya menjadikan Kota Lama sebuah kota yang bahagia, berdaya saing dan diberkati. Kota Lama yang saya idamkan bercirikan kota yang maju, makmur, bersih, harmoni dan progresif.

Untuk mencapainya saya mempunyai misi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dalam aspek sosioekonomi, infrastruktur dan perkhidmatan. Saya akan menumpukan kepada teras strategik mewujudkan kitaran ekonomi yang mampan, kemudahan awam yang efektif, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan berkualiti dan perkhidmatan saya sebagai ADUN yang inklusif untuk rakyat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas