DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya menyasarkan seramai 50,000 orang usahawan golongan B40 dapat dilahirkan menerusi Program Usahawan Inkubator Malaysia Madani yang dilancarkan, semalam.
Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, bagi merealisasikan objektif tersebut, pihaknya kini sedang giat menjelajah seluruh negara untuk menyebar luas maklumat berkaitan supaya sampai ke kumpulan sasaran.
“Program anjuran bersama Angkasa Wijaya Internasional Sdn Bhd (AWISB) ini telah dimulakan sejak bulan Julai lalu bertujuan mewujudkan lebih ramai penglibatan warga luar bandar daripada golongan B40 bergelar usahawan.
“Sejak program dimulakan Julai lalu, sambutan di kalangan ahli dan bukan ahli DPIM peringkat negeri sangat mengalakkan. Taklimat akan diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada tarikh-tarikh tertentu dan kelayakan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berusia 21 hingga 60 tahun,” ujarnya.
Di majlis tersebut turut berlangsung Memorandum Persefahaman (MoU) di antara DPIM Putrajaya dan AWISB.
Khanafi menambah, para peserta terpilih dikenali sebagai mentee akan dibimbing oleh syarikat-syarikat daripada pelbagai industri yang bertindak sebagai mentor.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menguruskan geran kepada setiap peserta dalam bentuk kursus kemahiran, latihan, modal, peralatan dan pendigitalan berkaitan industri yang dipilih.
Melalui program tersebut dijangka sebaik menamatkan latihan, para peserta sudah boleh menjana pendapatan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Ekselutif AWISB, Dato’ Zakariah Hassan berkata, program tersebut berbentuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.
“Tujuan utama untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.
“Kami menyasarkan sebanyak 60 syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria tertentu akan memohon sebagai mentor.

Mereka ini mestilah bersedia memberi tunjuk ajar dan komitmen melahirkan golongan usahawan baharu yang mampu berdikari dan menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang.
“Setakat ini sebanyak 40 syarikat pelbagai industri telah terpilih sebagai mentor antaranya menawarkan kursus perkhidmatan urutan, penjagaan ibu bersalin dan bayi semasa berpantang, perkhidmatan spa bergerak, mekanik pemotoran, industri pemakanan dan minuman serta perkhidmatan content creator,” ujarnya.
Beliau menambah, orang ramai daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar lepasan sekolah atau institusi pengajian tinggi, ibu tunggal, kakitangan kerajaan dan badan berkanun, pesara kerajaan tanpa batasan jantina sangat digalakkan memohon.
“Program yang ditawarkan ini dijangka membuka lembaran baharu kepada golongan B40 yang tinggal di luar bandar yang selama ini tercari-cari jalan menjana pendapatan.
Misalnya seorang wanita yang mempunyai kemahiran mengurut akan didedahkan dengan teknik yang betul, kaedah simpan kira bersistematik dan berkeyakinan apabila berhadapan dengan pelanggan.
“Setiap peserta diberi peluang memilih mentor dan industri yang ingin diterokai dan mereka akan diberikan kursus kemahiran, sijil serta pemantauan berterusan supaya usaha mereka berbaloi dengan apa yang dilaburkan,”katanya. – WILAYAHKU