“KEBANYAKAN usahawan yang terlibat dalam pembuatan dan pengeluaran makanan bijak memilih kategori yang mendapat permintaan tinggi tetapi apabila menyentuh bab pemasaran ramai yang gagal untuk bertahan.
Sehubungan dengan itu, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya bersedia membantu para usahawan terbabit mengembangkan perniagaan dengan kos bajet yang berbaloi.

Ucapan Pengerusinya Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin itu mendapat maklum balas positif daripada peserta yang menyertai Taklimat Peluang Pemasaran Produk ke 1,000 cawangan pasar raya dan kedai bertempat di Makers Distribution Centre (MDC) .
Majlis anjuran bersama DPIM Putrajaya , MDC dan Komuniti Pembangunan usahawan (EDC) yang diketuai oleh Coach Nurlukmal di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Khanafi menambah, objektif taklimat diadakan untuk memberi hebahan kepada usahawan yang mahu melebarkan pasaran tetapi tidak mampu melakukan secara bersendirian.
“DPIM peka dengan permasalahan tersebut dan telah berkolabrasi dengan sebuah syarikat pengeluaran makanan kering yang terkenal dan kukuh dalam pasaran lebih daripada 30 tahun iaitu pengeluar produk jenama Rempah Cap O untuk bersama-sama dengan usahawan yang berminat.
“Justeru, apabila syarikat lokal ini menawarkan ruang gudang penyimpanan dan pengedaran ke seluruh negara, usahawan wajar merebut peluang kerana berjemaah dalam perniagaan selaras dengan agenda DPIM yang antara lain berusaha menonjolkan halal ekonomi,” ujarnya.
Menurutnya lagi, DPIM sangat menggalakkan usahawan bumiputera muslim sentiasa menjadikan syarikat yang kukuh dalam pasaran sebagai sumber inspirasi.
“Peluang bekerjasama dengan MDC ini berbaloi kerana caj yang dikenakan hanya sebanyak 20 peratus. Jika dibandingkan usahawan bergerak secara solo, mereka akan menanggung kos penyimpanan, kos pengangkutan dan paling rumit perbincangan menempatkan produk di premis pasar raya atau kedai runcit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDC, Zafran Mohd Zin berkata, Rempah Cap O telah berada di pasaran sejak tahun 80-an dengan memulakan perniagaan di Jitra, Kedah.
Rempah jenama cap O yang kini semakin mendapat sambutan di kalangan penggenar masakan kari dan gulai .Sambutan yang baik telah mendorong MDC menjadikan gudang di Puchong sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran terutama bagi memenuhi pasaran di Lembah Klang, Selangor serta di sebelah Pantai Barat.
“Buat masa ini kami mempunyai 16 buah lori untuk mengedar produk ke 1,000 cawangan pasar raya dan kedai runcit seluruh negara. Melalui kerjasama dengan DPIM Putrajaya, kami mengalu-alukan mana-mana usahawan untuk bersama-sama MDC menambah jumlah kedai bagi tujuan edaran produk masing-masing.
“Sasaran DPIM dan MDC untuk bekerjasama dengan 500 jenama berlainan kategori dan fokus kepada makanan kering. Untuk makluman pada masa akan datang, di mana Rempah Cap O dipasarkan, produk usahawan yang menyertai kami juga akan berada di sana.
“MDC hanya menawarkan perkhidmatan logistik manakala promosi dilakukan atas inisiatif usahawan itu sendiri. Mereka boleh menyertakan kain rentang, sepanduk bunting, risalah dan lebih baik lagi buat hebahan melalui media sosial dalam talian sebagai pemberitahuan produk mereka telah berada di pasar raya atau kedai tertentu,” ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai taklimat berkaitan boleh hubungi talian – Zaini 019 4740483 – WILAYAHKU