DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya telah mengadakan majlis minum petang bagi tujuan melebarkan jaringan ukhuwah dan perniagaan dalam kalangan usahawan di Putrajaya, baru-baru ini.
Seramai 55 peserta mengambil bahagian daripada pelbagai latar belakang sekitar Putrajaya, Selangor, Lembah Klang dan Johor.
Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, penganjuran majlis tersebut mencapai objektif kerana setiap peserta diberi tempoh masa untuk memperkenal perniagaan dan produk masing-masing.
“Tujuan utamanya, menghimpun usahawan untuk mengeratkan ukhuwah di samping mengadakan sesi jaringan antara usahawan agar saling mengenali kerana datang dalam bidang berbeza . Kita bagi peluang setiap peserta untuk perkenal dan menghebahkan apa perniagaan dan produk yang mereka ada.
“Walaupun masanya terhad namun kemahiran untuk perkenalkan diri dan memiliki keyakinan tinggi dalam kalangan usahawan apabila berhadapan dengan khalayak telah membantu mereka.
“Maklumat dijelaskan dengan pantas dan tepat begitu juga dengan tawaran perniagaan dan perkhidmatan,” ujarnya.

Hadir sama Presiden DPIM Datuk Mohammad Sahar Mat Din serta Yang Dipertua Dewan Perdagangan dan Industri Asean Selangor, Norlukmal Mat Ghani .
Muhammad Khanafi menambah, apa yang llebih menarik adalah peserta bukan hanya dari dalam kalangan ahli DPIM sahaja tetapi ada juga usahawan yang pertama kali bersua muka.
“ Ini jelas dengan agenda DPIM yang sentiasa membuka peluang sama rata kepada kepelbagaian bidang perniagaan di negara ini untuk mengembangkan sayap. Kaedah yang diguna pakai pada majlis kali ini sangat praktikal,” ujarnya.
Pada majlis yang sama turut berlangsung majlis menandatangan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara DPIM Putrajaya dengan Komuniti Pembangunan usahawan (EDC) yang diketuai oleh Coach Nurlukmal.
“EDC bermula pada 2018 di Shah Alam, Selangor kini meluaskan perkhimatan membuka lebih banyak lokasi strategik dengan tawaran bilik untuk beroperasi dan bilik seminar dengan harga mampu milik.
“DPIM Putrajaya berkolabrorasi dengan EDC dengan membuka cawangan petama di Presint 15, Putrajaya. Bayaran yang dikenakan sekitar RM250 sebulan bukan sekadar lokasi bekerja, mengadakan mesyuarat dan seminar tetapi DPIM dan EDC akan memastikan aktivti – aktiviti keusahawanan berlaku setiap bulan.
“Selepas majlis ini diharap para usahawan terus mengukuhkan jaringan dan sebagai penganjur DPIM akan meneruskan program misalnya penghujung November akan datang, kita ulangi aktiviti seperti ini di Kuala Selangor pula.
“Kepada para usahawan yang berminat atau mahu ikut serta dialu-alukan menjadi ahli DPIM Putrajaya kerana hebahan akan diwar-warkan dalam kumpulan media sosial,” ujarnya.

Selain itu, pihaknya turut cakna dengan kesukaran usahawan yang diisytiharkan muflis dan satu program berkaitannya akan diadakan tidak lama lagi.
“DPIM berusaha untuk memberi cahaya kepada kumpulan usahawan muflis dengan memilih tajuk Cabaran Usahawan Muflis dan Solusinya. Kita akan menjemput wakil dari Jabatan Insolvensi untuk bertemu secara terus dengan usahawan terbabit,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta yang ditemui, Shahrida Yusof, sanggup datang dari Kempas, Johor untuk bersama-sama dalam majlis tersebut kerana tertarik dengan aktiviti yang diadakan.
“Majlis minum petang begini sangat baik dan dicadangkan kepada DPIM mengadakan setiap bulan untuk menambah pangkalan data dan jaringan dengan usahawan yang berbeza latar belakang.
“Pada masa akan datang saya cadangkan diadakan di lokasi yang lebih luas, tempoh masa untuk memperkenal diri dan perniagaan juga lebih panjang, tersusun, tepat dan sampai kepada golongan sasar.
“Sebagai konsultan dalam penternakan ayam di Shah & Shah Alsouq Ventures, hubungan dengan usahawan lain sangat penting kerana daripada mereka akan diperoleh informasi berkaitan. Misalnya bagaimana penternakan mampu memasarkan produk lebih luas melalui kerja berpasukan,” ujarnya.

Seorang lagi peserta Kapten Shahril Nazri Termizi, Pengarah Urusan Jari Emas Health Products & Supplements hadir bersama ibu, Hajah Kiah Abdul Razak sebagai pengasas syarikat yang mengeluarkan produk kesejahteraan tubuh berasaskan gamat.
“Majlis yang bagus untuk menghebahkan perniagaan dengan rakan niaga yang lain. Misalnya produk kami yang dikenali dengan jenama Tradisea berasaskan bahan alami atau semulajadi yang bertujuan mengangkat produk tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Penglibatan kami empat beradik untuk menyokong syarikat yang diasaskan oleh ibu telah menampakkan hasil dan berharap menjadi inspirasi kepada usahawan lain.
“Apa yang lebih penting pertemuan petang ini diharap diadakan lebih kerap untuk mendapat rangkaian rakan niaga yang lebih ramai,” katanya. – WILAYAHKU