Berita

DPIM Putrajaya, BeanSE meterai MoU perkukuh pendigitalan PKS

- Diterbit 16 Mac 2025 7:06 PM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya dan Bean Search Expert Sdn Bhd (BeanSE) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh usaha pendigitalan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Majlis menandatangani MoU tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Moden dan Teknologi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Asmawadi Mohamed, Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin serta Ketua Pegawai Eksekutif BeanSE , Edward Chong.

Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Moden Dan Teknologi MPC , Asmawadi Mohammed (tengah), Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Mohamad Khanafi Husin (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif BeanSE, Edward Chong, bertukar dokumen sempena MoU di Putrajaya, baru- baru ini.

Asmawadi Mohamed menyatakan bahawa hanya 20 peratus PKS di negara ini telah mengadaptasi teknologi dalam perniagaan mereka, menandakan keperluan langkah proaktif bagi meningkatkan jumlah penglibatan dalam pendigitalan.

“Berdasarkan peratusan, kelebihan kecerdasan buatan (AI) perlu diperluaskan dengan segera agar lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan bagi mendorong transformasi digital dalam sektor ini.

“Inisiatif MoU ini disokong sepenuhnya kerana MPC berperanan memastikan PKS mendapat akses kepada teknologi serta kemahiran digital yang diperlukan untuk berkembang.

“Ini termasuk menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri dan sektor awam bagi mempercepatkan pemodenan serta transformasi digital perniagaan,” ujarnya.

Dari Kanan: Naib Presiden DPIM, Datuk Khairul Shahril Hamzah, Pengasas ASEAN Mall Patani, Datuk Jamal Md Amin, Ketua Pegawai Eksekutif BeasSE Edward Chong, Pengerusi DPIM Putrajaya Datuj Seri Muhamad Khanafi Husin, Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Moden dan Teknologi MPC, Asmawadi Mohamed dan Pengurus MPC, Aiman Zakwan.

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) katanya, MPC bertanggungjawab meningkatkan daya saing dan produktiviti ekonomi negara melalui pelbagai kaedah termasuk kajian dan pembangunan bagi mengenal pasti cabaran serta peluang dalam meningkatkan produktiviti perniagaan.

Sehubungan itu, pihaknya menyediakan latihan serta program pembangunan kapasiti bagi membantu PKS meningkatkan kecekapan dan daya saing mereka, selain menggalakkan penggunaan teknologi dan pendigitalan agar perniagaan dapat berkembang dalam ekosistem moden.

Kerjasama ini dijangka memberi impak besar kepada usahawan, khususnya dalam mempercepatkan adaptasi teknologi dan automasi perniagaan.

“MoU ini bukan sekadar perjanjian tetapi satu komitmen untuk menggerakkan usahawan ke arah pemodenan perniagaan. Melalaui sokongan MPC, usahawan bukan sahaja dapat memahami kepentingan teknologi malah diberikan peluang untuk mengaplikasi secara praktikal dalam perniagaan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Muhamad Khanafi Husin menjelaskan bahawa transformasi digital bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan bagi para usahawan pada masa kini.

“MoU ini merupakan langkah penting dalam membantu komuniti DPIM mengadaptasi teknologi, meningkatkan daya saing serta memperkukuh perniagaan mereka dalam ekonomi digital.

“DPIM komited untuk memastikan usahawan mendapat akses kepada latihan dan teknologi yang relevan. Kerjasama BeanSE serta sokongan MPC, saya yakin lebih ramai usahawan akan mendapat manfaat daripada teknologi AI dan automasi untuk melonjakkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa melalui MoU, lebih ramai usahawan akan dipilih menyertai latihan bagi membuka peluang kepada kolaborasi strategik dan akses pasaran yang lebih luas dalam ekosistem DPIM.

“Selain latihan dan bimbingan dalam pendigitalan perniagaan, usahawan juga perlu menguasai strategi pemasaran yang lebih berkesan serta memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan kecekapan operasi mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Edward Chong menegaskan bahawa kerjasama ini adalah kesinambungan hubungan erat antara BeanSE dan DPIM Putrajaya sejak tahun 2023.

“Komuniti DPIM mempunyai potensi besar dalam perniagaan, namun mereka masih memerlukan pengetahuan serta kemahiran digital untuk terus berkembang.

“Sebagai penyokong transformasi digital, kami memahami visi kerajaan dalam membantu PKS. Dalam tempoh dua tahun, lebih daripada 100 perniagaan telah menyertai program digitalisasi dan kini lebih banyak peluang tersedia dengan sokongan penuh daripada MPC,” katanya.

Tambahnya, usahawan PKS perlu merebut peluang untuk mengikuti latihan kerana hanya peserta yang berkelayakan akan terpilih memandangkan program ini dibiayai sepenuhnya oleh MPC dan tempat adalah terhad.

“Keutamaan akan diberikan kepada perniagaan yang benar-benar komited untuk meluangkan masa dan sumber dalam usaha memperkukuh daya saing mereka dalam ekonomi digital,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas