Berita

DOF nasihat nelayan, penternak akuakultur peka keadaan cuaca

METMALAYSIA ramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir pada penghujung bulan. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 28 Oktober 2022 9:42 AM MYT

JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) menasihatkan nelayan pantai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap laporan ramalan cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Sufian Sulaiman, MetMalaysia meramalkan bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang akan membawa kepada banjir pada penghujung bulan berkenaan.

“Justeru, saya berharap nelayan tidak mengabaikan ramalan ini bagi mengelakkan sebarang risiko berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan para penternak ikan sangkar agar menangguhkan operasi baharu ternakan ikan ketika Monsun Timur Laut dan menimbang penjualan ikan yang telah mencapai saiz pasaran.

Mohd Sufian berkata penternak juga perlu memantau projek ternakan dengan lebih kerap agar tindakan segera boleh diambil untuk menyelamatkan ternakan yang masih ada, memeriksa struktur ban kolam dan mengambil serta menyimpan gambar sistem ternakan kolam atau tangki ikan sebelum, semasa dan selepas kejadian banjir.

“Sekiranya ditimpa banjir, para penternak dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan mengemukakan laporan kepada Pejabat Perikanan berdekatan serta memakai dan menyediakan peralatan keselamatan secukupnya.

“Penternak akuakultur juga perlu mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara sekali gus mengambil langkah lain yang difikirkan perlu.

“Pihak kami berharap dengan persediaan awal dan langkah berjaga-jaga ini dapat mengurangkan risiko kepada pengusaha akuakultur daripada mengalami kerugian dan kerosakan akibat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan laporan ramalan dan perubahan cuaca dari semasa ke semasa melalui laman sesawang www.met.gov.my atau menerusi aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia dan talian 1-300-22-1638. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas