Selebriti

DJ Lin percaya pada kemanisan di sebalik ujian

- Diterbit 31 Mei 2024 4:22 PM MYT

DJ LIN atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid mengakui dirinya bukan robot kerana dia mempunyai hati dan perasaan. Malah kadangkala berasa lemah apabila mentalnya sering dibuli.

“Tipulah kalau cakap komen-komen negatif atau kecaman keterlaluan tidak memberi kesan kepada mental saya. Sudah tentu ia sangat mengganggu fikiran saya kerana kita manusia biasa.

“Namun, saya anggap ini adalah satu proses untuk memantapkan mental fizikal saya. Cuma, kalau mahu menghukum, biarlah siasat dan ada fakta yang benar.

“Walaupun dilemparkan dengan kata-kata nista dan memberi kesan kepada kesihatan mental, saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.

“Saya berdoa kepada Allah, saya reda dan terima jika ujian ini untuk mematangkan selepas melakukan penghijrahan. Saya terima apa sahaja ketentuan dan kuat demi lebih 50 anak buah saya di Suria FM,” ujarnya.

Dia turut percaya terdapat kemanisan yang bakal menunggu di sebalik dugaan yang dilalui selama ini lebih-lebih sebagai ibu tunggal sejak 17 tahun lalu dia perlu sentiasa kuat.

DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM berkata kecaman terhebat yang pernah dihadapinya adalah isu kontroversi penamatan kontrak seorang penyampai radio.

“Itulah kecaman terhebat yang pernah saya alami. Satu Malaysia bercakap tentang itu. Selama 25 tahun dalam industri radio, saya kekalkan rekod cemerlang bersama 13 anugerah besar. Saya bina jenama DJ Lin dari kosong sejak 1999.

“Namun disebabkan isu itu, setiap hari saya dilemparkan cacian serta tohmahan yang sangat pahit. Sukar nak gambarkan betapa sedihnya saya ketika itu.

“Saya tak boleh salahkan netizen sebab mereka tak tahu apa yang berlaku. Tapi, saya tak mahu anak-anak diserang.

“Anak saya tak bersalah. Nak kecam DJ Lin, kecamlah, tetapi jangan sentuh anak-anak saya dan jangan hukum mereka tanpa asas. Mereka manusia biasa, ada hati, emosi dan perasaan.

“Saya tak tahu apa hikmahnya, tapi saya sangat percaya netizen yang hentam saya, yang gelar saya dengan pelbagai panggilan yang tak boleh diterima, akan menyedari kenyataan tetap kenyataan,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas