Berita

Dividen Simpan SSPN 2024 dijangka meningkat

- Diterbit 16 Disember 2024 11:21 AM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan pemberian dividen Simpan SSPN tahun 2024 kepada pendeposit akan meningkat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

PTPTN menjelaskan peningkatan ini adalah berdasarkan kepada prestasi semasa hasil pelaburan deposit Simpan SSPN yang meningkat berikutan pengurusan pelaburan strategik serta komitmen PTPTN dalam memastikan pulangan yang kompetitif kepada pendeposit,” tulisnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya pada tahun 2024, PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM341.54 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2024, sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM287.64 juta untuk
tempoh yang sama tahun 2023.

“Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate (OPR)) kepada 3.00% pada 3 Mei 2023 sehingga kini telah menggalakkan nilai pertumbuhan pelaburan dan membantu PTPTN memperolehi pulangan pelaburan yang lebih konsisten.

“Peningkatan keuntungan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.

“Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan.

“Di samping itu, penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan tersebut. Ia adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi serta pada masa yang sama mendapat pulangan yang optimum selaras dengan mandat pelaburan yang diberikan, ” tulisnya.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 adalah sebanyak 3.60 peratus, meningkat berbanding 3.05 peratus pada tahun 2022.

“Bagi tahun 2024, saya optimis bahawa pemberian kadar dividen Simpan SSPN dijangka akan terus meningkatb erbanding tahun 2023 berdasarkan kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun.

“Saya yakin dengan kecekapan dan keupayaan pengurusan PTPTN yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid bahawa Simpan SSPN akan terus menjadi produk simpanan yang berdaya saing di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada ibu bapa untuk membuat simpanan dalam Simpan SSPN sebagai langkah proaktif dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak secara berkesan untuk jangka masa panjang selain menikmati kadar dividen Simpan SSPN tahun 2024 yang dijangkakan akan terus meningkat.

“Kepada masyarakat Malaysia yang telah membuat simpan dalam Simpan SSPN, saya mengucapkan terima atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan dalam membudayakan amalan menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik,” katanya.

Tambahnya selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan kepada pendeposit Simpan SSPN, antaranya produk simpanan tersebut merupakan satu-satunya yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat agar terusmenabung di dalam Simpan SSPN bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi terjamin sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas