Berita

Dituduh sengaja ingin mewajibkan vaksin, pindaan cegah wabak

KKM telah mengenal pasti beberapa keperluan mendesak sewaktu menangani beberapa wabak utama antaranya pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020.
- Diterbit 28 Oktober 2024 4:30 PM MYT

PELBAGAI tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada kerajaan hanya kerana Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit.

Tanpa mengetahui dengan lebih lanjut, ramai yang mengandaikan perkara bukan-bukan sehingga menuduh pihak kerajaan sengaja ingin memendekkan usia rakyat dengan memaksa mendapatkan suntikan vaksin yang tidak selamat.

Mungkinkah ramai yang sudah lupa bagaimana keadaan ketika wabak COVID-19 melanda negara pada tahun 2020? Sudah tentulah kerajaan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan untuk menangani wabak utama dalam dekad ini.

Memetik Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, pakej pindaan itu akan membolehkan pencegahan dan kawalan penyakit yang lebih cekap dan berkesan.

Ia sekali gus menjadi asas penguatkuasaan yang mantap bagi menghadapi sebarang wabak atau pandemik penyakit berjangkit pada masa hadapan.

“Bagi menangani cabaran-cabaran yang timbul dengan berkesan, pindaan-pindaan ini dikemukakan untuk mengemas kini dan menutup kelompongan (lacuna) dalam kerangka perundangan negara sedia ada agar selari dengan keperluan semasa,” katanya pada sidang media di Parlimen, baru-baru ini.

Sebelum itu, RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh beliau dan dibahaskan 24 Ahli Parlimen.

Tambah beliau penguatkuasaan pindaan baharu Akta 342 itu akan melibatkan beberapa aspek antaranya peruntukan yang melibatkan notifikasi untuk penyakit berjangkit termasuk kes-kes yang disyaki, pengasingan atau pengawasan orang yang dijangkiti dan orang yang disyaki.

Katanya, ia juga membabitkan peruntukan yang melibatkan langkah-langkah bagi maksud pengesanan dan pemantauan selain peruntukan yang melibatkan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan kuasa penguatkuasaan.

Ia termasuk menjalankan penyiasatan, menghendaki maklumat berhubungan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, serta pendakwaan dengan izin Pendakwa Raya.

“Penguatkuasaan pindaan peruntukan juga melibatkan kadar Penalti Am dan kadar kompaun baharu bagi individu dan pertubuhan perbadanan bagi maksud kawalan dan langkah pencegahan kesalahan.

“Pindaan-pindaan tunas terhadap Akta 342 in adalah reformasi yang amat penting untuk memastikan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara ketika berhadapan dengan ancaman penyakit berjangkit adalah sentiasa terjamin,” katanya.

Rasanya tidak perlulah terlalu memikirkan perkara yang bukan-bukan kerana kerajaan sentiasa memikirkan langkah ke hadapan dalam mendepani cabaran yang mendatang bukanlah seperti apa yang anda andaikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas