Berita

Dituduh sengaja hapus kenderaan NGV, keselamatan agenda utama kerajaan

ASPEK keselamatan antara faktor penamatan kenderaan NGV mulai tahun depan.
- Diterbit 11 November 2024 6:24 PM MYT

KECOH dalam media sosial dakwaan kerajaan mahu memperbanyakkan kenderaan EV (Electric Vehicle) dari China sekali gus menamatkan kenderaan yang menggunakan gas asli (NGV) mulai tahun depan.

Tidak cukup itu, pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan lawatan Perdana Menteri ke negara China mempunyai agenda tersembunyi bagi menguntungkan pihak berkaitan.

Malah mereka turut mendakwa penghapusan kenderaan NGV adalah peluang baik untuk kerajaan menaikkan harga petrol dan menghapuskan subsidi.

Pelbagai dakwaan dan andaian yang berunsurkan politik dan tidak munasabah sama sekali dimainkan sedangkan kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk tidak membenarkan kenderaan NGV didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan atas jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.

Menurut beliau Petronas juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat dalam pasaran negara sebelum penamatan sepenuhnya bermula tarikh sama.

“Keputusan itu diambil atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan kepada pengguna terutama pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.

“Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 sehingga 2014.

“Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terbabit pada hari ini sudah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti,” katanya pada sesi pengumuman Dasar Pengunaan Kenderaan NGV di Stesen Petronas Jalan Cochrane Perkasa.

Tangki NGV mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan tempoh 15 tahun dan tidak selamat jika tidak diganti, selain boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa yang boleh mendatangkan kecederaan, kematian serta kerosakan harta benda.

Malah terdapat segelintir pengguna yang sudah melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang amat berbahaya dan mendatangkan risiko kemalangan serta letupan sebelum ini.

“Silinder LPG hanya mempunyai tekanan sekitar 7 bar/100 psi berbanding tangki NGV yang mempunyai tekanan sehingga 220 bar/3,200 psi.

“Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi sehingga boleh melebihi RM7,000 bagi setiap kenderaan,” ujarnya.

Tambah beliau, alat ganti NGV terutama tangki tulen amat sukar diperoleh di pasaran tempatan.

“Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas diterima, terdapat pemilik kenderaan sudah menggunakan alat ganti daripada tangki yang digunakan atau pengubahsuaian tidak diiktiraf termasuk menggunakan tangki gas LPG.

“Semua perkara ini akan mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Jadi, jelaslah di sini langkah yang dilakukan adalah demi kepentingan pengguna kerana nyawa lebih penting daripada segalanya. Tidak begitu? – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas