KECOH dalam media sosial apabila ada yang mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempergunakan isu Palestin untuk meraih sokongan rakyat.
Dakwaan yang tidak berasas itu turut mengatakan banyak lagi negara lain yang berperang namun Anwar tetap memilih untuk membantu Palestin kerana isu itu tersebut popular.
Malah langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini turut dipertikaikan sedangkan ia merupakan tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
Tuduhan yang agak melampau dengan mengkritik serta mengecam tindakan tersebut menimbulkan rasa kesal Perdana Menteri.
“Kezaliman Israel menembak, bom, hancurkan rumah, bunuh bayi dan wanita, malah baru-baru ini lelaki dipenjara, ada yang diperkosa, kemudian kita bawa balik, itu pun dicerca, ada orang kata Anwar tak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin kalau nak tolong sangat.
“Orang mati terkorban, diseksa, duduknya jauh. (Sebelum ini) ada yang lain datang lagi ramai, Rohingya ratus ribu … banyak negara jiran datang minta pertolongan, dulu pelarian Aceh, ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan reda,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata tidak cukup dengan itu, pihak pembangkang langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ataupun menzahirkan tahniah kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebaliknya melabel kerajaan sebagai ejen Yahudi, ejen Amerika Syarikat dan ejen Israel.
“Saya harap bukalah minda kita sedikit, ini negara pertama di Asia yang beri rawatan kepada rakyat Palestin sebab apa kita jadi negara pertama di Asia lakukan? Kerana barisan Jemaah Menteri, kerajaan negeri sepakat dalam Kerajaan Perpaduan untuk sama-sama jalankan tanggungjawab bersama,” katanya.
Terdahulu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 41 pesakit dan 86 waris rakyat Palestin selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Kesemua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.