Berita

Dituduh perkenal formula susahkan rakyat, terus perbaiki struktur ekonomi

STRUKTUR ekonomi negara akan terus diperbaiki pada tahun depan dan seterusnya.
- Diterbit 11 Oktober 2024 9:40 AM MYT

HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat namun sudah bermacam-macam tuduhan tidak berasas dan fitnah dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut meremeh-remehkan usaha Anwar untuk memperbaiki tahap ekonomi negara menerusi belanjawan pada 18 Oktober ini.

Tuduhan tidak berasas itu antara lainnya menyifatkan beliau ingin terus membohongi rakyat dengan formula yang hanya akan menyusahkan rakyat.

Nampaknya ada pihak yang tidak puas hati dengan kejayaan Anwar yang semakin menunjukkan keberhasilan dalam memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang baik.

Malah seperti yang dipetik dalam ucapan beliau baru-baru ini, Anwar menegaskan impiannya mahu memperbaiki struktur ekonomi negara pada tahun depan dan seterusnya.

Ini kerana, menurut beliau lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dapat dikongsi dengan rakyat secara saksama.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2025 adalah kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan supaya Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi MADANI.

“Yakni melonjakkan pertumbuhan negara dan sekali gus menjunjung prinsip manusiawi untuk mengangkat darjat rakyat terbanyak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, beliau sudah menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua tenaga kerja yang telah bertungkus-lumus untuk merangka Belanjawan 2025,” katanya.

Belanjawan 2025 dijadual dibentang Anwar di Dewan Rakyat pada 18 Oktober depan.

Sidang Parlimen akan bermula pada Isnin depan dengan pembentangan beberapa usul oleh kerajaan termasuk bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 dijadual pada Rabu.

Anwar sebelum ini berkata, isu inflasi dan kos sara hidup juga antara yang akan diberi penekanan dalam Belanjawan 2025 selain penyasaran subsidi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas