Berita

Dituduh guna bomoh di pentas Precious Of Malaysia… Kin By Nik tampil jawab fitnah

- Diterbit 5 Ogos 2024 7:48 AM MYT

KECOH dalam media sosial apabila tular video seorang wanita berselubung kain hitam dan berperwatakan seperti  bomoh muncul dalam pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week, yang berlangsung di Menara Affin @TRX, Kuala Lumpur, 3 Ogos baru-baru ini.

Ada yang mendakwa, pereka fesyen Nik Amri yang membawa jenama Kin By Nik melakukan perbuatan khurafat itu bagi membolehkannya memenangi pertandingan fesyen tersebut.

“ASAP yang dibawakan wanita itu bukanlah kemenyan, sebaliknya ais kering dan diserikan taburan bunga Melur.” – Pemilik jenama Kin By Nik, Nik Amri.

Menyedari video itu dikongsi oleh ramai pihak, Nik Amri yang dihubungi media tampil memberi penjelasan.

“Pada awalnya saya hanya ketawa sahaja apabila ada yang mendakwa saya menggunakan khidmat ‘Mak Esah’ (bomoh) untuk menang Precious Of Malaysia.

“Tetapi apabila telefon saya tidak henti-henti terima panggilan bertanyakan hal tersebut, kononnya saya guna bomoh, saya jadi hairan dan pelik. Takkanlah ianya terlalu serius.

“Atas sebab itu, saya memberanikan diri menjawab pertanyaan media bagi menjelaskan situasi yang sebenar. Bukan apa, saya tak nak orang beranggapan seolah-olah benar saya buat perkara khurafat itu. Minta dijauhi,” katanya.

ANTARA koleksi Kin By Nik yang diperagakan di pentas Precious Of Malaysia.

Menurut Nik, salah faham itu timbul apabila ada yang tidak menonton video penuh dan keseluruhan situasi ketika itu.

“Iya, memang saya bawa wanita tersebut dalam pertandingan itu. Tetapi tugasnya untuk berlakon sahaja yang merupakan gimik persembahan saya sebelum menampilkan koleksi penuh Kin By Nik.

“Asap yang dibawakan wanita itu bukanlah kemenyan, sebaliknya ais kering dan diserikan taburan bunga Melur.

“Tidak ada perbuatan khurafat sebaliknya hanya gimik persembahan bagi memeriahkan lagi acara itu. Saya masih tahu dosa pahala sebagai orang Islam.

“Saya pun tak salahkan sesiapa kerana mereka tak tahu konsep sebenar dan tidak melihat keseluruhan gimik yang  dibuat dalam pertandingan itu.

“Sebenarnya, dalam persembahan itu terdapat tiga individu yang tampil berselubung di pentas merupakan rakan penari daripada Antava Projects. Jika kami benar-benar bomoh, sudah pasti akan menggunakan kelebihan tersebut untuk meraih kejayaan lebih besar!

“Sebelum ini pun, Kin by Nik sentiasa tampil dengan elemen dramatik dalam setiap rekaan dan persembahan pentas.

“Untuk Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week tahun ini, sedikit elemen konseptual teaterikal umpama upacara membuka panggung dan meraikan tetamu dimulakan dengan taburan bunga klasik yang sinonim dengan adat Melayu iaitu bunga Melur.

“Bunga Melur, yang biasanya mewangi pada waktu senja pula dipilih sebagai simbol kesucian, kemurnian dan keindahan,” tambahnya.

TIM Kin By Nik
PEMILIK jenama Kin By Nik, Nik Amri (tengah) bersama model-model yang terlibat dalam pertandingan fesyen sempena Precious Of Malaysia.

Menurut Nik lagi, gimik yang dibuat itu mengikut konsep koleksinya yang diberi nama Sore Soirée.

“Sore Soirée menggabungkan dua konsep yang mana ‘sore’ bermaksud senja, masa antara lewat petang dan awal malam ketika matahari mulai terbenam.

“Manakala ‘soirée’ pula boleh diterjemahkan sebagai majlis malam atau pertemuan malam. Ia merujuk kepada acara atau perjumpaan yang diadakan pada waktu malam dalam suasana penuh elegan.

“Konsep ini menunjukkan transisi waktu senja menuju malam. Persembahan dimulakan dengan gerakan misteri dan suntikan elemen mistikal untuk membangkitkan mood sebelum persembahan fesyen bermula.

“Saya tegaskan sekali lagi, tiada sebarang ritual pembomohan pada acara pertunjukan fesyen kerana ia sekadar gimik persembahan untuk tampil berbeza dengan pereka fesyen lain,” ulasnya.

Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week telah mengiktiraf Kin by Nik menerusi anugerah Best Showcase tahun ini.

Jika diteliti, konsep persembahan rekaan fesyen oleh Kin by Nik kali ini mengolah konsep senja glamorama malam diibaratkan satu majlis mewah penuh gemerlapan pada waktu senja.

PRECIOUS Of Malaysia – International Cultural Fashion Week telah mengiktiraf Kin by Nik menerusi anugerah Best Showcase tahun ini.

Sebanyak 8 rekaan dipersembahkan menggabungkan inspirasi daripada rekaan tradisional Melayu seperti baju kebaya Kota Bharu, Baju Kebaya Riau, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Melayu Teluk Belanga dan Kurung Kedah.

Rekaan juga dimodenkan dengan menggunakan fabrik seperti PVC, faux leather, vinyl, poliester, tulle dan faux fur.

Beberapa rekaan moden seperti sut lelaki, jaket panjang dan ball gown turut menjalinkan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik songket.

Selain itu, tiga jenis destar lelaki, Tanjak Cogan Daun Kopi, Tanjak Gajah Melaung dan Tanjak negeri Pahang juga diangkat dalam persembahan kali ini. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas