Berita

Dituduh gagal urus ekonomi, prestasi Bursa Malaysia meningkat

- Diterbit 17 Mei 2024 9:40 AM MYT

SEPANJANG pentadbiran lebih satu tahun Kerajaan Perpaduan, pelbagai kecaman dan tohmahan dilemparkan kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim gara-gara ketidakpuasan hati segelintir pihak.

Biarpun pelbagai langkah telah dilakukan oleh PM dalam usaha memulihkan ekonomi namun ia seolah-olah dipandang sepi. Malah, ada yang menuduh beliau menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli ringgit dan sebagainya.

Pendek kata, apa sahaja yang dilakukan oleh Anwar sentiasa tidak kena di mata mereka yang tidak puas mencari kesilapan sehingga turut melabelkan PM gagal urus ekonomi.

Namun ternyata, apa yang diperkatakan tidak benar apabila Anwar membuktikan pencapaian terbaik prestasi Bursa Malaysia yang mencapai rekod permodalan pasaran tertingginya sekali gus membuktikan kekuatan daya tahan ekonomi di bawah Kerajaan MADANI.

Memetik ucapan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pembangunan pasaran modal Malaysia, yang mencerminkan komitmen untuk memupuk pertumbuhan, inovasi dan daya tahan dalam sektor kewangan telah meletakkan negara sebagai destinasi utama bagi pelaburan serta aktiviti pasaran modal.

“Bursa Malaysia telah mencecah 1,600 mata, selain mencapai permodalan pasaran tertingginya berjumlah RM2 trilion. Prestasi berkenaan, yang hadir sewaktu ketegangan geopolitik yang berterusan menjadi bukti kekuatan pasaran dan ekonomi Malaysia.

“Ia juga menunjukkan bahawa langkah pembaharuan yang diambil kerajaan di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI sedang mengambil tempat dan membina keyakinan pelabur,” kata beliau dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran CIMB Securities baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Amir Hamzah berkata pelbagai strategi dan inisiatif telah dilaksanakan kerajaan untuk merealisasikan sasaran utama di bawah Ekonomi MADANI.

Antaranya Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan pembaharuan ekonomi utama di bawah Belanjawan Negara 2024.

“Usaha tersebut meliputi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan tumpuan kolektif terhadap menaikkan siling dan menaikkan lantai, membuka laluan ke arah pertumbuhan ekonomi yang ketara dan mampan melalui inisiatif yang dipacu impak,” kata beliau.

Kerajaan juga turut menumpukan kepada sektor korporat untuk meningkatkan penyertaannya dalam ekosistem ekonomi negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas