NEGARA digemparkan dengan isu dakwaan jenayah serta penganiayaan kanak-kanak di rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB).
Biarpun masih tertumpu bagi kertas siasatan fasa pertama dan kedua Op Global namun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengaitkannya dengan isu berbaur politik.
Di laman sosial, ada yang menuduh kononnya pihak kerajaan sengaja ingin memburuk-burukkan imej GISB dengan tuduhan liwat dengan mendakwa pemimpin Cina dalam kerajaan tidak senang dengan kejayaan syarikat Islam itu.
Ada juga yang mendakwa Anwar terpaksa ‘melayan’ permintaan pemimpin-pemimpin itu kerana mahu terus disokong oleh mereka.
Isu tidak masuk akal itu turut dikaitkan dengan ucapan PM pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 baru-baru ini yang dikatakan menyanjung tinggi peranan usahawan Cina di Malaysia dan di peringkat global.
Paling tidak masuk akal, pihak yang suka menangguk di air keruh itu turut mengaitkan isu GISB dengan PMX yang dilihat sengaja melewat-lewatkan siasatan.
Usah melulu menuduh kerana Anwar baru-baru ini telah pun menegaskan isu berkaitan akidah, salah guna kuasa, salah guna agama dan penderaan adalah perkara besar jika terbukti benar.
Malah beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat sekali gus membuktikan keprihatinan beliau terhadap isu panas tersebut.
“Biar polis buat siasatan dan tindakan mengikut undang-undang, pihak majlis agama terutama di Wilayah Persekutuan dan saya lihat juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ramai tanya kenapa (berlaku) kelewatan, lengah dalam ambil tindakan, jadi saya sudah bawa perkara ini supaya diambil tindakan segera (dalam) siasatan dan laporan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Terdahulu, dalam Op Global yang dijalankan baru-baru ini, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GiSB adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – WILAYAHKU