KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengembalikan semula pelaksanaan Program Highly Immersive Programme Mentor (HIP Mentor) tahun depan.
Menurut KPM, projek rintis yang bermula sejak 2018 itu ditangguhkan sementara disebabkan pandemik COVID-19 pada 2020.
“Tahun ini, KPM telah menetapkan untuk meneruskan usaha murni pelaksanaan HIP Mentor bagi tahun depan.
“HIP Mentor ini akan menyasarkan sekolah rendah dan menengah yang masih berada pada tahap 1 dan 2 skala HIP,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai perkembangan terkini Program HIP Mentor.
KPM menambah, projek rintis HIP Mentor dilaksanakan di 21 buah sekolah di lima negeri bermula dari 2018 hingga 2019.
Katanya, seramai 20 mentor yang terdiri daripada pesara guru dan pensyarah bahasa Inggeris terlibat dalam projek ini secara sukarela.
“Kajian keberkesanan projek rintis mentor ini telah dilaksanakan bermula 2 Oktober sehingga 4 November 2019.
“Hasil kajian menunjukkan 94.4 peratus pemimpin dan guru memberikan reaksi positif terhadap projek rintis HIP Mentor.
“Selain itu, sebanyak 93.7 peratus menyokong bahawa projek ini membawa keberhasilan yang positif dalam membentuk persekitaran pembelajaran bahasa Inggeris,” katanya.
KPM memberitahu, bagi maklum balas murid pula, didapati 92.0 peratus murid menunjukkan reaksi positif terhadap HIP Mentor.
Katanya, sebanyak 91.4 peratus murid menyokong bahawa HIP Mentor menggalakkan mereka menggunakan bahasa Inggeris.
“Sebanyak 91.5 peratus murid menyokong bahawa HIP Mentor sangat membantu dalam memupuk sikap positif terhadap pembelajaran bahasa Inggeris,” katanya.
Jelas kementerian itu, HIP Mentor melibatkan pesara guru dan pensyarah bahasa Inggeris sebagai sukarelawan atau digelar HIP Mentor. – WILAYAHKU